PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer pada Khamis mengadakan satu mesyuarat dengan beberapa pemain senior kelab itu bagi membincangkan krisis yang berlaku di Old Trafford.
Pertemuan itu diadakan di pusat latihan Carrington ketika dia cuba menyelamatkan musim The Red Devils, dan juga kedudukannya.
Enam pemain yang terlibat dalam pertemuan itu termasuk kapten, Harry Maguire serta pemain senior lain iaitu Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes, Luke Shaw, Victor Lindelof dan Nemanja Matic.
Pengendali berusia 48 tahun itu membincangkan bagaimana mereka boleh mengubah musim mereka dan juga pelan taktikal selepas bertukar kepada posisi tiga bek dalam tiga perlawanan terakhir.
Pengurusan United dilaporkan sudah membuat keputusan untuk terus bersama Solskjaer, yang menghabiskan sebahagian daripada cuti rehat antarabangsa di rumahnya di Norway.
Solskjaer bagaimanapun terdesak untuk mendapatkan kemenangan apabila berkunjung ke Watford pada Sabtu selepas tewas enam kali dalam 12 perlawanan terakhir termasuk kekalahan memalukan di laman sendiri di tangan Liverpool dan Manchester City.
Kekalahan di Vicarage Road pada Sabtu atau dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu menentang Villarreal akan memberi lebih banyak tekanan kepada posisinya di United.
Bos Leicester, Brendan Rodgers dikaitkan dengan kerusi panas di Old Trafford itu sejak beberapa minggu lalu, tetapi pengurus yang berasal dari Ireland Utara itu berkata, spekulasi itu berisiko menjejaskan para pemainnya yang kini sedang berusaha untuk menghidupkan semula musim mereka.
Rodgers berkata, tumpuannya ketika ini adalah melayan kunjungan Chelsea pada hujung minggu ini.
"Ia tidak mengecewakan saya secara peribadi tetapi ia mengecewakan peminat dan juga pemain saya.
"Jika ada yang membaca apa yang dilaporkan di luar sana, maka itu boleh menjejaskan kestabilan. Saya pengurus Leicester City, saya bangga berada di sini, dan komited sepenuhnya," katanya.
Rodgers turut menegaskan bahawa dia dan pemilik Leicester, Aiyawatt Srivaddhanaprabha mempunyai hubungan kerja yang ideal.
"Saya amat menghormatinya dan melindungi warisan bapanya. Saya rasa saya berada di tempat yang betul, dengan orang yang betul," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram