Gerrard nafi jadikan Aston Villa ‘batu loncatan’ ke Liverpool


  • Podium
  • Jumaat, 19 Nov 2021

GERRARD bakal mengemudi Villa buat kali pertama dalam perlawanan menentang Brighton pada Sabtu. — Reuters

PENGURUS Aston Villa, Steven Gerrard menegaskan adalah tidak adil sekiranya beliau menyifatkan langkahnya melatih kelab berkenaan sebagai ‘batu loncatan’ dalam kariernya.

Gerrard menggantikan Dean Smith yang dipecat baru-baru ini oleh Villa.

“Saya akan memberikan segala-gala yang diperlukan untuk berjaya. Saya akan memberikan 100 peratus komitmen, begitu juga staf saya.

“Bagi saya, amat berbesar hati dan bangga dapat memegang jawatan ini,” ujarnya.

Gerrard menandatangani kontrak selama tiga tahun setengah bersama Villa. Kelab itu ketika ini hanya dua mata di atas zon penyingkiran selepas mengutip 10 mata daripada 11 perlawanan.

"Amat baik dapat bertemu dengan pemain dan mengadakan sesi latihan dengan mereka. Kami ada beberapa pemain yang menjalani tugasan antarabangsa, saya tidak sabar bertemu mereka.

"Kami akan bermain dengan corak permainan yang berbeza berbanding sebelum ini. Saya mahu meletakkan identiti dan falsafah tersendiri.

"Ia mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi anda akan melihat perubahannya pada perlawanan hujung minggu nanti.

"Ia permulaan yang baharu. Saya memberitahu pemain supaya meyakinkan saya sebaik mungkin di dalam dan luar padang," katanya.

Gerrard akan kembali ke Anfield apabila Villa menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 11 Disember kelak dan mendedahkan Klopp sering menghubunginya selepas beliau dilantik sebagai pengurus Villa.

"Dia merupakan seorang lelaki dan jurulatih yang baik. Saya berpendapat Liverpool bertuah memilikinya dan saya sebagai peminat Liverpool berharap Klopp akan kekal lama sebagai pengurus Liverpool.

“Tiada yang salah dalam bola sepak untuk bermimpi dan mempunyai aspirasi tetapi Liverpool memiliki pengurus berkelas dunia seperti Jurgen Klopp yang mereka boleh banggakan," menurutnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Gerrard, Aston Villa, EPL, Klopp