Man United terdesak mahu khidmat Zidane


  • Podium
  • Ahad, 14 Nov 2021

MAN United dalam usaha memujuk Zidane ke Old Trafford. — AFP

MANCHESTER United dilaporkan meningkatkan usaha untuk memujuk pengurus dari Perancis, Zinedine Zidane datang ke Old Trafford, menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Zidane sebelum ini dikhabarkan enggan berhijrah ke EPL kerana masalah komunikasi dan lebih gemar untuk membimbing kelab Perancis atau pasukan kebangsaan Perancis.

Rekod Zidane sebagai pengurus begitu cemerlang apabila berjaya merangkul tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan dua juara La Liga Sepanyol sewaktu membimbing Real Madrid.

Pengurusan Man United turut berharap hubungan Zidane bersama dua bekas pemainnya di Real Madrid iaitu Raphael Varane dan Cristiano Ronaldo akan berjaya memujuknya ke Old Trafford.

Selain itu, corak pengurusan Zidane yang gemar membangunkan pemain muda turut menjadi salah satu faktor yang diambil kira oleh Man United.

Tekanan kian memuncak buat Solskjaer selepas pasukan bimbingannya hanya mampu meraih enam kemenangan dalam 12 perlawanan terakhir.

Man United kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 17 mata, tiga mata di belakang musuh tradisi Arsenal.

Sejurus kekalahan memalukan kepada Liverpool 5-0, masa depan Solskjaer kian samar dan beberapa pengurus terkemuka dikaitkan dengan kelab tersebut termasuklah Zidane.

Baru-baru ini, nama pengurus Leicester City, Brendan Rodgers kian hangat diperkatakan bakal menggantikan Solskjaer namun para peminat Man United 'menolak' Rodgers kerana beliau pernah membimbing Liverpool dari 2012 hingga 2015. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram