Penyokong Man United terpaksa bersabar dengan Solskjaer sehingga penghujung musim


  • Podium
  • Selasa, 16 Nov 2021

MASA depan Solskjaer bersama United makin samar selepas beberapa persembahan buruk ditampilkan musim ini. — Reuters

SELEPAS beberapa persembahan buruk ditampilkan oleh skuadnya, masa depan pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer kini seperti 'telur di hujung tanduk' dengan beberapa nama sudah dikenal pasti untuk menggantikan pengurus Norway itu.

Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, bekas pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane serta pengendali PSG, Mauricio Pochettino merupakan calon-calon yang dilaporkan menjadi pilihan pengurusan kelab untuk mengisi kerusi hangat di Old Trafford jika Solskjaer dipecat.

Namun, penyokong The Red Devils mungkin terpaksa menunggu dan bersabar lebih lama sebelum melihat legenda mereka itu meninggalkan Old Trafford.

Ini kerana, menurut laporan media, ketiga-tiga calon utama berkenaan difahamkan tidak mahu mengambil alih Man United ketika pertengahan musim.

Walaupun jendela perpindahan Januari hanya tinggal tujuh minggu lagi, pengurus baharu mungkin tidak mempunyai cukup masa untuk mengenali pemain dan mengimplementasi taktik baharu dengan kadar segera.

Selain itu, prospek trofi bersama kelab masing-masing ketika ini turut menjadi penghalang untuk berpindah kelab pada pertengahan musim.

Calon utama sasaran The Red Devils, Rodgers masih berpeluang untuk memenangi piala bersama The Foxes musim ini selepas kejayaan Piala FA dan Perisai Komuniti pada tahun ini.

Leicester City sudah layak ke suku akhir Piala Carabao dan masih berpeluang untuk ke peringkat kalah mati Liga Europa.

Zidane, yang menjadi ejen bebas selepas meninggalkan Real Madrid pada Mei lepas, juga difahamkan lebih berminat untuk mengambil alih pada penghujung musim supaya mempunyai masa untuk mengenali pemainnya sebelum musim baharu bermula.

Selain itu, Pochettino juga berada di landasan tepat untuk menambah koleksi trofi bersama PSG pada musim ini.

Skuad kendaliannya kini selesa di tangga teratas Liga Perancis dan PSG juga merupakan antara pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram