TFC hilang 2 tonggak tapi Nafuzi ada ramuan buat pemain


  • Podium
  • Rabu, 17 Nov 2021

DIA berkata TFC tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Carli De Murga dan Habib Haroon. — Facebook

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain mahu anak buahnya berusaha mendapatkan jaringan awal agar dapat mengekalkan momentum pada perlawanan suku akhir kedua menentang Sarawak United FC, malam Khamis.

Beliau berkata pertemuan kedua itu pastinya lebih sukar kerana jurulatih berpengalaman yang membimbing skuad Kenyalang Emas, E. Elavarasan mempunya ramuan tersendiri untuk menyekat Terengganu selepas tewas tipis pada perlawanan pertama Ahad lepas.

"Walaupun kita menang 2-1 di laman sendiri tempoh hari, ia bukan jaminan untuk kita menang di tempat lawan dan mara ke separuh akhir kerana corak permainan pastinya bertukar.

"Oleh itu, gol awal akan memberi sedikit kelegaan dan motivasi untuk pemain meneruskan momentum hingga minit terakhir perlawanan," katanya.

Pusingan suku akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan skuad Penyu mengatasi Sarawak 2-1 hasil jaringan Mohd Faiz Nasir dan Faisal Abdul Halim, manakala gol tunggal Sarawak diperoleh hasil jaringan sendiri pemain Terengganu, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata TFC tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Carli De Murga kerana masih dalam proses pemulihan manakala Habib Haroon pula mengalami kecederaan buku lali ketika perlawanan pertama tempoh hari.

"Habib akan bersama kita ke Shah Alam, tetapi masih 50-50 sama ada boleh bermain atau tidak. Selain itu pemain tempatan yang cedera ialah pertahanan, Muhammad Mohd Fauzi dan Sharin Sapien.

"Kita minta semua peminat bola sepak Terengganu memberikan sokongan serta doa, mudah-mudahan kita menang di Shah Alam dan layak ke separuh akhir Piala Malaysia," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram