Bintang Manchester City didakwa dua lagi tuduhan rogol


  • Podium
  • Rabu, 17 Nov 2021

MENDY dijangka hadir di Mahkamah Majistret Stockport minggu ini — Agensi

PEMAIN pertahanan Manchester City Benjamin Mendy didakwa dengan dua lagi pertuduhan rogol pada Selasa, menurut pendakwa raya.

Mendy kini secara keseluruhannya menghadapi enam tuduhan rogol dan satu serangan seksual yang melibatkan empat pengadu berusia lebih 16 tahun.

Sebelum ini, City menggantung khidmat Mendy sementara menunggu siasatan setelah Cheshire Constabulary menuduh pemain itu dengan empat tuduhan merogol dan satu tuduhan serangan seksual.

Tuduhan terhadap bek kiri berusia 27 tahun itu berkaitan dengan tiga pengadu berusia lebih dari 16 tahun, dengan insiden yang didakwa berlaku antara Oktober 2020 dan Ogos 2021, menurut laporan polis.

Manakala, lelaki kedua yang berkait dengan kes Mendy, Louis Saha Matturie, telah didakwa dengan dua lagi tuduhan merogol dan satu serangan seksual, kata Perkhidmatan Pendakwaan Diraja dalam satu kenyataan.

Mendy, 27, dari Prestbury, dan Matturie, 40, dari Eccles yang mana kedua-duanya di barat laut England, akan dihadapkan di hadapan majistret di Stockport, Manchester pada Rabu.

Sebelumnya, kedua-dua lelaki ini hadir di Mahkamah Chester Crown pada 10 September lalu dan akan dibicarakan pada 24 Januari tahun depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram