BEKAS kapten Liverpool, Steven Gerrard secara rasmi dilantik sebagai pengurus Aston Villa pada Khamis, menggantikan Dean Smith yang dipecat 7 November lalu.
Gerrard meninggalkan juara Scotland, Rangers selepas tiga tahun setengah membimbing kelab itu dan merangkul kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 10 tahun musim lalu, serta mengharungi kempen liga tanpa kalah pertama kelab itu.
Ketika bersama Rangers, Gerrard pernah bekerja keras untuk membawa masuk pemain sayap, Ryan Kent dari The Reds sebanyak dua kali, pertama secara pinjaman pada 2018 dan kemudian secara kekal pada jendela perpindahan musim panas 2019.
Bekas kapten England itu juga dilihat sangat sayang akan pemain tersebut dan pernah menolak beberapa tawaran kelab EPL yang mahu membawa pemain itu semula ke England.
Gerrard juga mengesahkan bahawa dia pernah menolak tawaran daripada Leeds United yang cuba mendapatkan pemain itu pada awal musim lalu.
Bercakap mengenai masa depan Kent pada Ogos 2020, legenda Liverpool itu memberi amaran tegas kepada kelab yang cuba mengintai pemain sayap itu.
"Mesej yang jelas kepada mereka adalah berambus.
"Ryan adalah pemain yang sangat kami kagumi di sini. Dia pemain yang kami lihat berkembang di Liverpool sejak sekian lama dan kemudian membawanya ke sini dan dia melakukannya dengan sangat baik semasa dipinjamkan.
"Kami akhirnya membeli Ryan dan menunjukkan banyak kepercayaan kepadanya, dan dia berkembang dengan sangat pantas di sini. Dia berada di tempat yang baik dan merupakan pemain yang kami mahu kekalkan.
"Tetapi ya, kami telah dihubungi Leeds dan tawaran pembukaan mereka telah ditolak dengan keras," katanya.
Kent mencatat 10 gol dalam 37 penampilan liga musim lalu. — Agensi
Dengan Gerrard dilihat sangat mengagumi pemain Inggeris itu, mungkinkah dia akan menarik pemain berusia 24 tahun itu beraksi di EPL semula?
Dan jika perkara itu berlaku, Liverpool pastinya akan berterima kasih kepada bekas pemain mereka itu.
Ini kerana, ketika melepaskan Kent ke Rangers dengan nilai £6.5 juta (RM41.8) juta, The Reds memasukkan klausa jualan atas keuntungan sebanyak 20% kerana yakin pemain sayap itu akan kembali semula ke EPL satu hari nanti.
Nampaknya ramalan Liverpool mungkin akan menjadi kenyataan pada musim panas ini atau lebih awal lagi kerana terdapat cakap-cakap yang mengatakan bos baru Aston Villa itu berminat untuk terus bekerjasama dengan pemain berusia 25 tahun itu.
Sama ada Kent akan kekal di Rangers pada musim hadapan atau bakal bersatu dengan Gerrard di Villa Park masih belum diketahui, tetapi apa yang pasti kelab Merseyside itu akan mendapatkan keuntungan apabila pemain itu berpindah ke kelab lain pada masa hadapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram