Lima kelab sambar Ronaldo jika United gagal layak ke UCL


  • Podium
  • Jumaat, 12 Nov 2021

RONALDO dijangka tinggalkan Manchester United pada musim depan. — Agensi

CRISTIANO Ronaldo bakal meninggalkan Manchester United pada musim panas depan jika kelab itu tidak layak ke Liga Juara-Juara.

Bekas pemain Juventus itu kembali ke Old Trafford pada musim ini, selepas 12 tahun beraksi bersama kelab lain dan sudah mempamerkan aksi yang hebat pada awal musim ini bersama United.

Dia telah menjaringkan sembilan gol dalam 12 perlawanan namun, pasukannya masih bergelut dengan prestasi teruk.

Ketika ini, Man United ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga dan menduduki tangga kelima, di luar kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Sekiranya United gagal mencapai kedudukan empat teratas, kelab itu bakal menghadapi risiko besar untuk kehilangan Ronaldo.

Berikut adalah senarai kelab yang mengalu-alukan penyertaan pemain berusia 37 tahun itu, sekiranya dia meninggalkan United:

PSG

PSG adalah antara kelab yang bakal mendapatkan tandatangan Ronaldo jika dia meninggalkan Man United pada penghujung 2021-22 atas beberapa faktor.

Ini termasuk kelab gergasi itu perlu mencari pengganti berprofil tinggi untuk Kylian Mbappe, yang berkemungkinan akan meninggalkan PSG itu apabila kontraknya tamat.

Pada masa sama, Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 pada November tahun hadapan, manakala tiada promosi yang lebih baik untuk kejohanan itu daripada PSG, sekiranya kelab itu mendapat kedua-dua pemain seperti Ronaldo dan Lionel Messi untuk menjadi duta.

Dari sudut komersial, Ronaldo dan Messsi akan memecahkan semua rekod jika berada dalam pasukan sama. Ia mungkin akan menyebabkan kekecohan taktikal, namun PSG pada musim ini telah menunjukkkan bahawa mereka tidak mengambil kisah mengenai perkara itu apabila membuat pembelian pemain.

Manchester City

Seperti PSG, Manchester City adalah salah satu daripada beberapa kelab di dunia yang mampu membayar gaji Ronaldo pada kadar €30 juta setahun.

City hampir sahaja mendapatkan tandatangan Ronaldo pada musim panas lalu, namun hasrat mereka terbantut pada saat-saat akhir apabila pemain Portugal itu disambar United.

Teka-teki sama ada mereka bakal mendapatkan kembali pemain itu masih belum diketahui, namun City ketika ini masih memerlukan penyerang.

Real Madrid

Ronaldo mungkin merupakan penjaring terbanyak Real Madrid sepanjang zaman dan berkemungkinan kecil dia akan kembali ke Bernabeu.

Karim Benzema adalah salah seorang penyerang terbaik dunia, manakala Vinicius Junior juga membuktikan dirinya sebagai pemain kelas atasan.

Madrid nampaknya akan mendapatkan tandatangan Kylian Mbappe pada musim panas depan dan mereka juga boleh membida Erling Haaland dari Borussia Dortmund.

Ini menjadikan peluang untuk Ronaldo kembali ke kelab itu agak tipis, tetapi boleh berubah jika berdepan masalah dengan Mbappe atau Haaland.

Sporting

Ibu Ronaldo pada musim panas lalu berkata bahawa dia akan cuba menasihati anaknya supaya kembali ke Sporting CP, kelab yang membuatkan pemain itu meniti kejayaan sebelum berpindah ke United.

Walaupun tidak mustahil Ronaldo berhasrat untuk kembali ke Portugal suatu hari nanti, musim panas depan mungkin masih terlalu awal untuk melakukan perpindahan itu.

Namun, jika Ronaldo tiada pilihan dan Sporting layak ke Liga Juara-Juara, maka perpindahan itu tidak mustahil boleh berlaku.

MLS

Perpindahan ke Major League Soccer (MLS) merupakan satu lagi destinasi berpotensi untuk Ronaldo, namun tidak mungkin berlaku pada peringkat kerjaya Ronaldo ketika ini.

Itu yang dilakukan kebanyakan pemain bintang dunia seperti Wayne Rooney, Thierry Henry, David Beckham dan Zlatan Ibrahimovic yang menyertai LA Galaxy atau NY Red Bull.

Tetapi buat masa ini, Ronaldo mungkin tidak ke AS kerana dia mahu beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara bagi memastikan rekod jaringannya tidak dapat dikalahkan untuk tahun-tahun akan datang.

Perpindahan ke Amerika Syarikat (AS) mungkin berlaku pada masa hadapan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram