Pogba 'hina' Ronaldo, letak syarat kepada United


  • Podium
  • Khamis, 11 Nov 2021

KONTRAK Pogba akan tamat pada penghujung musim ini. — AP

SEPERTI menabur garam ke luka. Itu yang dirasakan penyokong Manchester United apabila Paul Pogba meletakkan satu syarat kepada pengurusan kelab jika berhasrat mengekalkannya di Old Trafford.

Bagi penyokong, tuntutan yang dikemukakan tidak setimpal dengan aksi yang dipamerkan bintang Perancis itu dan seperti menghina Ronaldo yang ternyata memberikan aksi yang lebih baik serta konsisten pada setiap perlawanan.

Menurut laporan akhbar Perancis, L’Equipe, Pogba memberitahu kelab bahawa dia mahukan gaji yang sama seperti penyerang, Cristiano Ronaldo untuk terus bersama Red Devils.

Pogba kini dibayar sebanyak €17.4 juta (RM82.9 juta) setahun, manakala Ronaldo memperoleh nilai yang jauh lebih tinggi iaitu €30 juta (RM143 juta) setahun.

Kontrak Pogba akan tamat pada penghujung musim dan sehingga kini perbincangan masih tidak mencapai kata putus, dan beberapa kelab ternama Eropah seperti Juventus, PSG serta Real Madrid sedang mengintai peluang untuk mendapatkan bintang Perancis itu secara percuma.

Daily Mirror difahamkan bahawa United mahu menyelesaikan situasi kontrak Pogba menjelang Januari, iaitu ketika dia sudah dibenarkan berunding dengan kelab lain.

Permintaan tersebut pastinya tidak menyenangkan peminat United yang masih belum menikmati impak secara konsisten pemain berusia 28 tahun itu sejak menyertai kelab pada 2016.

Pogba juga baru sahaja mengalami kecederaan di bahagian paha dan bakal diketepikan sehingga 10 minggu.

Ini bermakna dia akan terlepas aksi getir menentang Chelsea, Arsenal dan Villareal.

Pogba tercedera semasa sesi latihan bersama skuad kebangsaan bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kazakhstan dan Finland. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram