Siapa Julian Ward, pengganti Micheal Edwards yang menjulang Liverpool


  • Podium
  • Khamis, 11 Nov 2021

JULIAN Ward bakal menggalas jawatan Pengarah Sukan, menggantikan Edwards.

BARU-BARU ini, peminat kelab bola sepak, Liverpool dikejutkan dengan berita yang mengatakan bahawa Pengarah Sukan, Micheal Edwards akan meninggalkan kelab tersebut.

Edwards memaklumkan yang dia akan meletakkan jawatannya selepas 10 tahun bersama dengan kelab tersebut.

Lelaki berusia 42 tahun itu sebenarnya amat disenangi peminat Liverpool dek kerana kepakarannya dalam jual beli pemain baharu sehingga menjadikan kelab bola sepak itu sebagai antara yang berpengaruh di dunia.

Namun yang menjadi tanda tanya sekarang ialah siapa sebenarnya Julian Ward yang bakal mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan individu yang cukup berpengaruh.

Wards mula menyertai Liverpool pada tahun 2012 sebagai sebahagian daripada pasukan pemantau bola sepak (scouting team) dan berada di Sepanyol serta Portugal.

Namun, pada 2015, Wards diberikan jawatan yang baharu diperkenalkan iaitu Loan Pathways and Football Partnerships Manager.

Ini yang membentuk kemampuan sebenar Ward di mana bertanggungjawab untuk mencari kerjasama dan menjalinkan hubungan dengan kelab bola sepak d England dan Eropah.

Jalinan kerjasama itu perlu untuk memastikan pemain muda mereka berpeluang merasai bola sepak profesional.

"Kita perlu memastikan pemain muda (bawah 18 dan 23 tahun) ini mendapat pengalaman yang kompetetif.

"Bila mereka sudah berkemampuan untuk bermain di bawah tekanan untuk pasukan barulah kita melihat persekitaran lain untuk mereka," kata Ward pada 2018.

Peranannya pada ketika itu menyaksikan dia berjaya menjalinkan kerjasama di antara Liverpool dengan pelbagai kelab bola sepak yang lain sekali gus menyerlahkan lagi kemampuannya.

Edwards dan Presiden FSG, Mike Gordon juga memuji kemampuan Wards sekali gus menyaksikan dia dilantik menjadi Penolong Pengarah Sukan.

Wards selepas itu bekerjasama dengan Edwards dan terus menyaksikan kedua-dua mereka berjaya meluaskan lagi hubungan dalam pengurusan pemain dan urusan jual beli pemain baharu.

Bagi pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp, Ward disifatkan sebagai individu yang sangat penting dalam pasukan.

"Jika anda perlu dipinjamkan, cara yang terbaik adalah untuk anda mempunyai kontrak dengan Liverpool kerana Ward yang akan menjaga semuanya.

"Ward mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pelbagai kelab bola sepak.

"Jika ditanya mengenai Ward terhadap pemain bola sepak, saya pasti mereka juga akan memuji Ward yang banyak membantu pasukan," katanya.

Buat masa ini, Ward mendapat sokongan penuh bukan sahaja daripada pengurus, tetapi juga pemain dan mereka boleh meletakkan harapan tinggi terhadapnya untuk langkah seterusnya bagi Liverpool bagi tahun hadapan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram