BEK tengah Manchester United, Phil Jones kali terakhir dilihat beraksi untuk kelab berkenaan apabila mereka memenangi perlawanan Piala FA menentang Tranmere Rovers pada 26 Januari 2020.
Dalam perlawanan berkenaan, Jones turut menjaringkan gol tetapi selepas itu, dia mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat selama 20 bulan.
Jones menyertai Man United pada 2011 dari Blackburn Rovers. Selepas itu, dia menjadi pemain yang agak konsisten dalam skuad utama Red Devils.
Walaupun tidak selalu berada dalam kebelasan utama, Jones dianggap oleh ramai peminat sebagai simbol kerja keras kerana dia akan melakukan apa sahaja supaya bola tidak menerjah gawang Man United.
Jones juga sering menjadi bahan ketawa warganet disebabkan mimik mukanya yang unik ketika beraksi. Malahan, situasi yang dialami oleh Man United ketika ini, ramai merindukan kelibat Jones.
Mereka membayangkan sekiranya Jones bermain ketika ini, maka gambar-gambar berbentuk sindiran berikutan kekalahan MU akan menular di media sosial.
Tapi, di mana Jones ketika ini? Selepas mengalami kecederaan menentang Tranmere, Jones kembali pulih sejak September lalu.
Dia sempat bermain untuk pasukan simpanan Man United namun sehingga kini, pengurus kelab itu, Ole Gunnar Solskjaer tidak menyenaraikan Jones dalam skuad utama.
Jones kebanyakannya bermain untuk pasukan bawah 23 tahun Man United pada musim ini. Bagaimanapun, dia hanya berada di bangku simpanan ketika Man United tewas kepada West Ham United dalam Piala Liga.
Keadaan tersebut membuatkan masa depan Jones di Old Trafford suram. Dengan kontrak yang bernilai 130,000 pound (RM731,315) seminggu dan bakal tamat pada 2023 selepas menandatangani lanjutan kontrak pada 2019, Man United perlu menjual Jones pada 2022 jika mereka tidak mahu melepaskannya secara percuma.
Menurut laporan The Sun, terdapat sebilangan kelab mahu mendapatkan khidmat Jones. Dua daripadanya adalah Newcastle United dan Watford, yang kini mahu mengelak daripada penyingkiran liga.
Satu lagi kelab yang dilaporkan berminat adalah Derby County, yang kini diuruskan oleh bekas rakan sepasukan Jones di Man United iaitu Wayne Rooney.
Namun, Solskjaer tidak bercadang untuk melepaskan Jones dan akan membuat keputusan tentangnya pada Januari kerana kecederaan dialami oleh Raphael Varane serta Harry Maguire membimbangkan pengurus tersebut.
Baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan England itu bercerita tentang perjuangannya berdepan masalah kecederaan dan kecaman yang sering diterima daripada penyokong bola sepak seluruh dunia.
"Saya pasti menjadi sasaran. Setiap pemain bola sepak memiliki label dan malangnya saya selalu ditertawakan. Tetapi saya tahu siapa yang akan ketawa di penghujungnya.
"Saya bangga dengan kerjaya saya dan apabila ia berakhir, saya menikmati hidup saya. Saya sangat bertuah kerana mampu melakukannya," ujar Jones kepada Times. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram