LIVERPOOL jarang berurusan mencari pemain baharu pada jendela perpindahan Januari tetapi nampaknya Jurgen Klopp terpaksa mencari pemain yang sesuai bagi memperkukuhkan skuadnya mencabar kejuaraan.
Dengan kekurangan pemain tengah akibat krisis kecederaan, Klopp wajar memikirkan penambahan pemain baharu apatah lagi dengan keadaan Roberto Firmino yang sudah mengalami kecederaan otot sebanyak dua kali pada musim ini.
Semua penyokong The Reds tahu kemampuan Gini Wijnaldum lebih baik daripada Naby Keita dan Alex Oxlade-Chamberlain tidak mendapat kepercayaan untuk bermain lebih kerap pada musim lepas.
Jadi bagi memantapkan barisan tengah Liverpool, siapa pemain yang perlu dikorbankan untuk membeli pemain baharu?
Alex Oxlade-Chamberlain
Seperti Jesse Lingard, yang mendapat nafas baharu dalam kariernya selepas dipinjamkan ke West Ham United pada musim lepas, Oxlade-Chamberlain juga perlu langkah yang sama.
Dia hanya mempunyai peluang antara sekarang sehingga Krismas untuk membuktikan kemampuan di Anfield tetapi peluang itu dilihat semakin tipis.
Masalahnya adalah Liverpool memerlukan pemain tengah yang berkualiti dan tidak boleh melepaskan Oxlade-Chamberlain secara pinjaman untuk membolehkan bermain lebih kerap.
Dengan pilihan yang terhad dan Keita terlibat dalam kejohanan AFCON, Liverpool perlu menambah pemain bagi posisi tengah.
Newcastle United dilapor berminat dengan khidmat Oxlade-Chamberlain, dan ini peluang untuk Klopp menggantikannya dengan pemain yang menepati kriteria.
Takumi Minamino
Pemain kelahiran Jepun ini jarang mendapat tempat tetapi memainkan peranan dalam saingan Piala EFL musim ini.
Besar kemungkinan Minamino akan mengangkat kaki dan kekosongan yang ditinggalkan perlu diisi.
Tetapi dia mempunyai peluang untuk menunjukkan kemampuannya di jentera serangan kerana Sadio Mane dan Mohamed Salah akan terlibat dalam kejohanan AFCON.
Neco Williams
Pemain asal Wales ini pada asalnya mahu meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan lalu tetapi tiada kelab yang berminat dengan harga 10 juta pound yang diletakkan kelab itu.
Sejak itu, peluangnya untuk beraksi seolah-olah sudah tertutup dan Klopp mempertaruhkan pemain berusia 18 tahun, Conor Bradley sebagai 'pelan kecemasan'.
Suka atau tidak, Klopp perlu berani untuk mencari pemain gantian pada jendela perpindahan Januari ini.
Divock Origi
Seperti Minamino, peluang Origi untuk dilepaskan juga tipis tetapi tidak mustahil jika ada tawaran yang sesuai.
Pemain kelahiran Belgium itu diperlukan pada kejohanan AFCON dan sudah bermain tujuh kali pada musim ini.
Jika Klopp mampu melepaskan empat pemain ini, dia perlu mencari sekurang-kurangnya dua pemain tengah yang berkualiti dan jarang dibelenggu kecederaan bagi memastikan skuadnya mampu memberi cabaran merebut kejuaraan pada musim ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram