Jadon Sancho berlatih posisi baharu


  • Podium
  • Rabu, 10 Nov 2021

SANCHO masih optimis bahawa dia akan bermain dengan baik di Manchester United. — Agensi

SELEPAS sekian lama memeram Jadon Sancho, Manchester United kini dilaporkan bakal memasukkan pemain itu dalam kesebelasan dengan posisi baharu.

Ini dibuktikan dengan kelibat Sancho dalam sesi latihan Manchester United baru-baru ini apabila dia dilihat berlatih di posisi bek sayap.

Selepas dibeli pada harga GB£73 juta (RM410 juta), Sancho sebelum ini hanya dilihat memanaskan kerusi pemain simpanan dalam beberapa perlawanan Manchester United sebelum ini.

Sancho dilihat gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama dan tindakan Ole Gunnar Solskjaer menukar formasi kepada 3-5-2 melenyapkan lagi peluangnya untuk menyerlah.

Dia merupakan pemain gantian yang tidak digunakan dalam perlawanan pertama di mana Solskjaer menggunakan taktik itu dan memperoleh kemenangan 3-0 ke atas Tottenham.

Sancho sebelum ini beraksi selama tiga minit menentang Atalanta dan persembahan 45 minit yang mengecewakan dalam kekalahan kepada Manchester City.

Bagaimanapun, Sancho masih optimis bahawa dia akan bermain dengan baik di Manchester United dan tiada sesiapa pun di Old Trafford yang meraguinya.

Dia mengakui terkejar-kejar dengan kepantasan permainan Inggeris tetapi bekerja keras dan jurulatih telah kagum dengan kesungguhan dan keinginannya untuk belajar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram