KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal mendedahkan bakat muda mereka, Zayn Ali Salman, yang digelar 'Lionel Messi cilik' yang hanya berusia lima tahun.
Salman menjadi sensasi internet selepas videonya beraksi berjaya memukau ribuan pengguna media sosial.
Dia merupakan rekrut termuda Arsenal apabila mula bersama kelab utara London itu ketika berusia empat tahun.
Peninjau bakat Arsenal, Stephen Deans berkata, dia pada mulanya tidak percaya bahawa Salman berusia empat tahun ketika pertama kali melihat kanak-kanak itu beraksi.
“Ketika saya melihatnya, saya memanggil seorang rakan yang mengesahkan dia berusia empat tahun. Saya tidak percaya dia masih di taska.
"Dia melakukan perkara yang tidak seharusnya anda lakukan pada usia itu. Kemudian saya bercakap dengan ibu bapanya dan membawanya ke beberapa sesi," katanya.
Ayah Salman berkata, Arsenal melihat anaknya mempunyai potensi yang besar untuk berjaya.
"Arsenal tidak peduli dengan usianya, mereka hanya menganggap dia memiliki banyak potensi.
"Dia mempunyai keseimbangan yang luar biasa sejak dia kecil," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram