PEP Guardiola menjangkakan Cristiano Ronaldo akan terus menjaringkan gol sehingga ke usia 75 tahun.
Manchester City akan menentang Man United malam pada Sabtu di Old Trafford dan ia pertemuan pertama antara mereka sejak Ronaldo, 36, mengecewakan City dengan menyertai United pada hari terakhir jendela perpindahan Ogos lalu.
Walaupun Ronaldo bergelut setiap kali menentang pasukan kendalian Guardiola dan menang hanya empat daripada 16 perlawanan, pengendali dari Sepanyol itu tetap mengagumi penyerang Portugal berkenaan.
"Ronaldo akan menjaringkan gol seumur hidupnya. Pada usia 75 tahun, mungkin sudah bersara tetapi dia akan bersantai bersama keluarga, bermain bola sepak dan menjaringkan gol.
"Orang seperti ini, seperti (Lionel) Messi, sepertinya, apa yang mereka lakukan sedekad lalu dalam dunia bola sepak menjaringkan gol dan membantu pasukan mereka menang adalah bukti kehebatan mereka.
"Bagus untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila dia kembali. United milik Cristiano dan Cristiano milik United. Ia saling melengkapi," kata Guardiola. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram