MUSIM 2021/2022 dilalui dengan sukar oleh beberapa pemain bola sepak terkemuka dunia.
Walaupun mereka diletakkan harapan untuk beraksi bersama kelab masing-masing namun gagal, malahan ada pemain yang terpaksa memanaskan bangku simpanan.
Pelbagai faktor yang menyebabkan mereka gagal beraksi pada kemampuan sebenar. Berikut merupakan lima pemain terkemuka yang zaman kegemilangannya sudah berakhir:
1. Mesut Ozil
Ozil dianggap sebagai antara salah seorang perancang tengah paling hebat dalam bola sepak moden. Ketika zaman kemuncaknya, Ozil banyak merekodkan bantuan hantaran untuk Arsenal beberapa kelab lain.
Namun, Ozil diperlakukan tidak adil oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta dan dipaksa bermain untuk pasukan simpanan.
Ozil juga tidak disenaraikan untuk skuad Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Europa Arsenal untuk musim lalu gara-gara isu politik yang membelenggu pemain berkenaan.
Pemain berusia 33 tahun itu ketika ini bermain di Turki bersama kelab Fenerbahce namun kariernya di sana tidak berjalan dengan baik.
Mesut Ozil. — AFP
2. Isco
Pada usia 29 tahun, Isco sepatutnya berada di puncak karier bola sepaknya tetapi pemain kebangsaan Sepanyol itu gagal memenuhi potensi besarnya.
Dia lebih banyak menghabiskan masa di bangku simpanan atau tidak disenaraikan dalam skuad utama Real Madrid.
Isco menikmati karier yang gemilang bersama pasukan Malaga dan membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain paling berbakat dalam generasinya.
Potensi yang dimiliki Isco membuatkan Real Madrid membelinya pada musim panas 2013 dan sejak itu menjadi watak penting dalam skuad Real Madrid.
Bagaimanapun Isco hanya mencatatkan enam penampilan bersama Los Blancos musim ini dan empat daripadanya adalah sebagai pemain simpanan.
Isco. — AFP
3. Philippe Coutinho
Harapan besar disandarkan kepada Coutinho untuk menggantikan Xavi Hernandez dan Andres Iniesta di Barcelona.
Selain kualiti teknik yang dimilikinya, harga pasarannya menjadi bukti bahawa Coutinho adalah aset yang sangat berharga.
Namun, para penyokong Barcelona kecewa dan prestasi terbaiknya hanya dapat dilihat ketika Coutinho dipinjamkan ke kelab Jerman, Bayern Munich.
Dalam 11 penampilan di semua kejohanan musim ini, Coutinho hanya menjaringkan satu gol.
Philippe Coutinho. — Reuters
4. Gareth Bale
Bale adalah pemain paling tidak dihargai dalam sejarah Real Madrid meskipun memainkan peranan penting dalam empat kejuaraan UCL untuk Los Blancos.
Hubungan Bale dan para penyokong serta kelab tersebut tidak baik. Malahan, situasi berkenaan menjadi penghalang utama perkembangannya di Real Madrid.
Bale pada musim ini hanya membuat tiga penampilan bersama Real Madrid.
Pemain Wales itu banyak berdepan kecederaan sepanjang lapan tahun bersama Los Blancos.
GARETH Bale. — AFP
5. Eden Hazard
Selama tujuh tahun di Chelsea, Hazard membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain berbakat dunia.
Malangnya, selepas berhijrah ke Real Madrid, Hazard berdepan masalah berat badan.
Pada mulanya, dia dikatakan akan menjadi pengganti Cristiano Ronaldo di Los Blancos namun gagal.
Hazard menikmati permulaan musim yang baik apabila merekodkan bantuan hantaran pada perlawanan pertama liga Sepanyol musim ini.
Bagaimanapun, Hazard gagal memberikan impak selepas itu dan tidak menyumbang sebarang bantuan hantaran dalam sembilan penampilan seterusnya.
Musim ini, Hazard banyak diletakkan di bangku simpanan termasuk perlawanan penting El Clasico.
Hazard dibayangi dengan beberapa pemain muda seperti Vinicius Junior, Rodrygo dan Marco Asensio. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram