Ramsdale pencetus kebangkitan The Gunners


  • Podium
  • Khamis, 04 Nov 2021

RAMSDALE masih belum tewas sejak bergelar pemain Arsenal. — Reuters

SABTU lalu, penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale memukau bukan sahaja penyokong Arsenal, tetapi peminat bola sepak seluruh dunia dengan persembahan hebatnya memastikan gawang The Gunners tidak dibolosi ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leicester City.

Dalam aksi di King Power Stadium yang memihak kepada Arsenal 2-0 itu, Ramsdale menyelamatkan gawang The Gunners sebanyak lapan kali, paling banyak yang pernah dia lakukan dalam perlawanan EPL, termasuk tampanan memukau ketika menyelamatkan sepakan percuma James Maddison.

Pengurusnya, Mikel Arteta juga tidak percaya pemain antarabangsa England itu berjaya menyelamatkan sepakan percuma tersebut dan mengakui dia menjangkakan pasukannya sudah dibolosi ketika itu.

Penjaga gol legenda, Peter Schmeichel juga mengatakan bahawa itu merupakan aksi penyelamatan terbaik yang pernah dilihatnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apabila The Gunners memutuskan untuk membelanjakan £30 juta (RM169.8 juta) bagi mendapatkan tandatangan Ramsdale pada Ogos, ramai yang begitu skeptikal mengapa Arsenal sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk seorang penjaga gol yang tersingkir dua musim berturut-turut, ketika musim 2019/20 bersama Bournemouth dan musim lalu bersama Sheffield United.

Selepas permulaan yang suram untuk kempen 2021/22, Arteta memutuskan untuk merehatkan penjaga gol utamanya ketika itu, Bernd Leno di bangku simpanan dan memberi peluang kepada Ramsdale, yang membuat penampilan EPL pertamanya untuk Arsenal dalam kemenangan 1-0 menentang Norwich pada bulan September.

Sejak itu, penjaga gol berusia 23 tahun itu mengukuhkan dirinya dalam kesebelasan utama, selepas beberapa persembahan terbaik yang ditunjukkannya ketika diturunkan.

Malah, Ramsdale telah menjadi pilihan Arteta dalam enam perlawanan liga terakhir Arsenal, dengan dia kini mengekalkan rekod bersih tanpa bolos dalam empat daripada tujuh perlawanan EPL musim ini dan masih belum tewas sejak tiba di Emirates.

Persembahan yang mengagumkan bersama The Gunners mendapat pujian ramai, termasuk peminat England, yang percaya bahawa Ramsdale harus diberikan jersi nombor 1 The Three Lions daripada penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Walaupun menampilkan beberapa aksi penyelamatan yang memukau, Ramsdale bukanlah hanya sekadar 'shot stopper' yang hebat.

Sejak menjadi penjaga gol utama Arsenal, Ramsdale telah memperbaiki pertahanan The Gunners secara keseluruhan.

Benteng pertahanan kelab utara London itu kini dilihat sebagai satu unit lebih kuat dan mempunyai persefahaman yang lebih baik.

Sifatnya yang begitu vokal memperlihatkan komunikasi di bahagian pertahanan kini lebih utuh berbanding ketika Leno berada di bahagian gol.

Musim lalu menyaksikan Leno melakukan beberapa kesilapan apabila menghantar bola dari bahagian belakang dan ini adalah satu lagi sebab mengapa Ramsdale telah meningkatkan prestasi Arsenal sebagai satu unit - Ramsdale merupakan penjaga gol yang lebih baik dengan bola di kaki.

Memetik goal.com, Arteta berkata: "Aaron telah menyesuaikan dirinya dalam skuad. Kami melabur wang untuk bakat dan pemain yang kami percaya boleh menjadi hebat untuk masa depan kelab. Kami membuat keputusan berdasarkan itu dan Aaron mempunyai beberapa persembahan yang sangat menakjubkan.

"Dia perlu terus berbuat demikian, kerana dalam bola sepak anda perlu bermain 50 perlawanan selama 20 tahun, dan ini hanya permulaan.”

Menurut Arteta, dia percaya skuadnya mempunyai potensi sekiranya mereka mengekalkan konsistensi untuk selama mungkin.

"Potensi itu ada, kerana kualiti yang mereka ada secara individu. Mereka saling melengkapi dengan kualiti tersebut.

“Sudah tentu dengan usia skuad, jika kita menguruskan mereka dengan baik dan mereka mengekalkannya (persembahan baik), mereka mempunyai masa depan yang sangat cerah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ramsdale, arsenal, epl, the gunners, arteta