UNAI Emery antara calon utama untuk menjadi pengurus Newcastle United bagi menggantikan Steve Bruce yang dipecat.
Walaupun tawaran itu ditolak oleh Emery, banyak pihak yang terkejut kerana beliau masih mempunyai kontrak bersama Villarreal. Apa yang membuatkan Newcastle ingin melantik pengurus Sepanyol itu?
Emery bukan figura asing dalam pentas bola sepak England. Beliau menunjukkan impak yang bagus ketika menguruskan Arsenal walaupun dipecat selepas 18 bulan mengemudi kelab berkenaan.
Meskipun dalam tempoh yang singkat, Emery melakukan tugas yang baik di Arsenal.
Sepanjang mengemudi Arsenal dalam satu musim penuh, kelab itu menamatkan liga di tempat kelima dan hanya ketinggalan satu mata untuk merebut slot Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Malah, Emery juga membawa Arsenal merekodkan 22 perlawanan tanpa dari Ogos hingga Disember 2018. Itu merupakan pencapaian Arsenal yang terbaik sejak 2007.
Dalam dua musim terakhir bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, pasukan itu menduduki tempat kelima dan keenam serta memenangi Piala FA.
Emery pula dipecat pada November 2019 selepas kelab berkenaan berada di tangga kelapan liga.
Bagaimanapun, ada alasan lain mengapa Emery dipecat ketika itu. Pengurusan Arsenal menghabiskan 130 juta pound (RM738.7 juta) pada jendela perpindahan musim panas 2019 termasuk membeli pemain sayap, Nicolas Pepe dengan harga 72 juta pound (RM409.1 juta).
Dengan mengeluarkan wang sebanyak itu, The Gunners melalui tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan itu pencapaian terburuk mereka sejak 1992.
Beberapa pengkritik bola sepak berpendapat Emery berdepan kesukaran untuk menyampaikan arahannya kepada para pemainnya serta dilihat tidak mampu memperbaiki masalah barisan pertahanan dan mentaliti kelab.
Tapi, adakah mentaliti Arsenal sudah berubah di bawah pengurus ketika ini, Mikel Arteta? Persoalan itu masih hangat diperdebatkan lagi.
Emery adalah seorang pengurus yang suka bekerja keras tetapi beliau juga memiliki fleksibiliti dalam taktikalnya.
Maksudnya, Emery tidak kisah untuk bekerja dengan semua pemain yang beliau miliki daripada memilih pasukan untuk satu sistem tertentu.
Pasukannya tidak mencetak gol atau melepaskan banyak gol. Sebanyak 73 gol yang direkodkan oleh Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2018/19 adalah jaringan paling tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram