Muka baharu pencetus kebangkitan Arsenal, tiada lagi #ArtetaOut


  • Podium
  • Isnin, 01 Nov 2021

ARTETA wajar diberi pujian susulan prestasi positif ditonjolkan Arsenal ketika ini. — Reuters

PASUKAN Arsenal kehilangan ramai pemain utama mereka pada permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Para peminat bola sepak perlu sedar bahawa dalam dua daripada tiga perlawanan awal, Arsenal tewas kepada finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu, Manchester City dan Chelsea, jadi itu bukan jadual yang mudah bagi The Gunners.

Namun, pengurus Arsenal, Mikel Arteta melakukan penambahbaikan dalam skuad berkenaan dengan menandatangani bek kanan Jepun, Takehiro Tomiyasu ketika akhir jendela perpindahan musim panas lalu.

Penambahan Tomiyasu dalam skuad tentunya memberi kelegaan kepada bek kiri, Kieran Tierney.

Tierney lebih gemar berlari di bahagian kiri sepanjang masa dan selalunya memberi dinamik serangan di kawasan 'final third' Arsenal manakala Tomiyasu gemar berada di posisinya untuk membentuk tiga bek tengah ketika pasukan tersebut mengawal bola.

Selain itu, kepulangan pemain Brazil, Gabriel daripada masalah kecederaan juga membantu keupayaan Arsenal untuk membentuk serangan dari bawah.

Malahan, pembelian penjaga gol England, Aaron Ramsdale turut memberi kelebihan buat Arsenal mencatatkan keputusan positif dalam beberapa perlawanan terakhir.

Ramsdale melepasi jangkaan pelbagai pihak dari segi kemampuannya menepis percubaan pihak lawan.

Di bahagian serangan, gandingan pemain muda tengah Arsenal adalah sesuatu yang mengujakan bagi para peminatnya.

Emile Smith-Rowe dan Bukayo Saka adalah masa depan Arsenal manakala Martin Odegaard mampu mencapai tahap tertinggi seperti ditonjolkan ketika beraksi bersama Real Madrid.

Arteta berdepan banyak cabaran sepanjang tempohnya menjadi pengurus Arsenal tetapi beliau wajar diberikan pujian ketika ini.

Bukan sahaja beliau lebih matang dan berani dalam perlawanan besar tetapi kita dapat melihat pembentukan skuad yang dilakukan sejak beberapa musim lalu sudah membuahkan hasil.

Penambahan pemain seperti Albert Sambi Lokonga, Ramsdale dan Ben White ke dalam skuad muda Arsenal, Arteta membina pasukan yang mampu mencabar kejuaraan pada masa hadapan.

Jika beliau dapat membina sebuah lagi pasukan Arsenal serta mampu mengulangi pencapaian skuad Arsenal 2001 dan kekal menunjukkan prestasi baik dalam jangka masa pendek, Arteta wajar diberi kredit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram