Arsenal kelab paling sesuai buat Haaland


  • Podium
  • Jumaat, 22 Okt 2021

HAALAND dilaporkan akan meninggalkan Signal Iduna Park pada penghujung musim ini sekali gus menarik perhatian kelab besar Eropah. — Reuters

LEGENDA Arsenal, Jens Lehmann percaya penyerang Borussia Dortmund, Erling Haaland mungkin berpindah ke Stadium Emirates pada 2022.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang mempunyai klausa pelepasan bernilai £64 juta (RM366.8 juta), dilaporkan akan meninggalkan Signal Iduna Park pada penghujung musim ini.

Gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona turut dikaitkan dengan perpindahan pemain antarabangsa Norway itu dengan ejennya, Mino Raiola dan ayahnya, Alf Inge dilaporkan telah mengunjungi kedua-dua kelab itu awal tahun ini.

Sementara itu, kelab gergasi Perancis, Paris Saint Germain serta penyandang Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City juga dikatakan sedang meninjau perkembangan bekas pemain Red Bull Salzburg itu.

Tetapi Lehmann, yang pernah beraksi untuk Arsenal dan Dortmund percaya bahawa Haaland lebih sesuai bersama The Gunners atau Manchester United.

Bekas penjaga gawang Jerman berusia 51 tahun itu berpendapat, pemain itu mungkin memutuskan untuk menyertai salah satu daripada dua kelab itu untuk membantu membawa mereka kembali menjadi kelab disegani di England.

Arsenal belum memenangi kejuaraan liga sejak musim Invincibles 2003/2004 - yang mana Lehmann beraksi dalam semua 38 perlawanan - sementara The Red Devils kali terakhir menjadi juara EPL pada tahun 2013.

Bercakap kepada media Jerman, Lehmann berkata, Haaland merupakan seorang pemain yang berkaliber, serta mempunyai kekuatan dan ketinggian yang mengagumkan.

"Sudah tentu, dia harus memperbaiki kaki kanannya tetapi saya tidak pernah melihat pemain yang begitu besar dan pantas sepertinya.

"Dia masih (di Dortmund). Tidak banyak kelab yang dia boleh pergi dan melakukan perubahan.

"Mungkin dia boleh pergi ke Manchester United atau Arsenal, di situ dia dapat membawa kedua-dua kelab kembali ke puncak," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

haaland, lehmann, arsenal, manchester united, epl