PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan Cristiano Ronaldo ibarat legenda bola keranjang dunia, Michael Jordan selepas pemain Portugal itu sekali lagi menjadi penyelamat Red Devils ketika seri 2-2 menentang Atalanta sewaktu saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu.
Menurut Solskjaer, Jordan juga sering menjadi wira untuk pasukan Chicago Bulls di saat-saat akhir perlawanan.
"Dia luar biasa dan jika anda memerlukan pemain yang mampu menjaringkan gol kemenangan di saat akhir, Ronaldo adalah orangnya.
"Dia penjaring gol terbaik yang pernah wujud dan saya sukar mengatakan tentang ini kerana dia baru sahaja melepasi rekod jaringan gol saya di Man United.
"Gol terakhir itu mirip seperti momen Jordan ketika memenangi gelaran juara di masa tambahan," kata Solskjaer.
Pada perlawanan berkenaan, Atalanta membuka jaringan menerusi gol Josipp Ilicic pada minit ke-12.
Bagaimanapun, United berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi jaringan Ronaldo.
Memasuki babak kedua, penyerang Atalanta, Duvan Zapata meledak gol kedua pasukan berkenaan pada minit ke-52.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan 2-1, Ronaldo melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada masa kecederaan untuk menyelamatkan maruah United.
Satu mata yang diraih oleh United membolehkan pasukan itu kekal di tangga teratas kumpulan F. Keputusan seri atau menang menentang kelab Sepanyol, Villareal pada perlawanan seterusnya akan melayakkan Man United ke peringkat seterusnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram