Solksjaer kena berani gugurkan Ronaldo — Darren


  • Podium
  • Khamis, 28 Okt 2021

SOLSKJAER (kanan) digesa supaya menggugurkan Cristiano Ronaldo demi menyelamatkan jawatannya. — Agensi

BEKAS penyerang Tottenham Hotspur, Darren Bent menggesa pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer supaya menggugurkan Cristiano Ronaldo demi menyelamatkan jawatannya.

Ini berikutan kritikan demi kritikan terhadap prestasi pengendali kelab dari Norway itu sejak kebelakangan ini.

Masa depan Solskjaer menjadi tanda tanya berikutan kekalahan The Red Devils 0-5 kepada Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad lalu, yang seterusnya membawa kepada laporan bahawa pengurusan kelab kini mengintai Antonio Conte sebagai pengganti.

Sekurang-kurangnya bagi Solskjaer, pihaknya akan terus bertanggungjawab untuk perlawanan menentang Tottenham Hotspur pada Sabtu depan, yang mana Bent percaya bahawa Solksjaer harus menggugurkan Ronaldo dan menggantikannya dengan Edinson Cavani sebagai fokus serangan.

“Saya fikir untuk Solskjaer, dia ada beberapa keputusan besar untuk dibuat. Jika dia mahu terus bermain dalam permainan yang penuh tekanan ini, maka dia perlu buat sesuatu yang berbeza.

"Dari aspek ini, Ronaldo memang bagus, namun dari segi tenaga, menggasak dan bekerja keras dari barisan serangan, Cavani adalah pilihan lebih baik berbanding Ronaldo," katanya kepada talkSPORT.

Tambah Bent, jika Solskjaer mahu bertahan lebih lama dalam peranannya, dia perlu mula membuat beberapa keputusan penting termasuk menggugurkan nama besar.

Kekalahan Manchester United baru-baru ini menyaksikan skuad kendalian Solskjaer itu jatuh ke tangga ketujuh dalam carta EPL dengan 14 mata daripada sembilan perlawanan, berkongsi mata bersama Everton, Leicester City dan Arsenal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram