Solksjaer puji Ronaldo, Ronaldo rekomen Zidane


  • Podium
  • Khamis, 21 Okt 2021

RONALDO meledak gol kemenangan Man. United ketika menewaskan Atalanta 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi. — Getty Images

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer menghamburkan pujian terhadap Cristiano Ronaldo yang mencetak gol kemenangan ketika kembali bangkit menewaskan Atalanta 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

Skuad kendalian Solksjaer pada mulanya ketinggalan dua gol apabila Mario Pasalic dan Merih Demiral meledak dua gol pasukan pelawat sebelum Marcos Rashford dan Harry Maguire kembali menyamakan kedudukan 2-2 buat The Red Devils.

Ronaldo akhirnya menceriakan Old Trafford apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-81 sekali gus meredakan tekanan Solksjaer yang sebelum ini dikecam hebat gara-gara tewas 2-4 di tangan Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

"Inilah yang paling Ronaldo pandai lakukan, saya benar-benar gembira dengan cara bagaimana dia memimpin pasukan.

"Sebagai penyerang utama, dia tidak berdepan masalah untuk mematuhi arahan taktikal termasuk turun membantu pertahanan selain menekan pasukan lawan terutamanya apabila beraksi sebagai tuan rumah.

"Kami mahu penyokong teguh berada di belakang kami, dan Ronaldo telah melakukan segala-galanya sebagai penyerang," kata Solksjaer.

Ironinya, pujian Solksjaer itu hadir sejurus selepas Ronaldo mengeluarkan kenyataan bahawa bekas bosnya di Real Madrid, Zinedine Zidane merupakan calon terbaik bagi menggantikan Solksjaer selepas ini.

Hubungan baik antara Ronaldo dan Zidane bukan lagi satu rahsia apabila Zidane disebut-sebut bakal menjadikan Old Trafford sebagai destinasi baharu seandainya Solksjaer gagal memenuhi prospek peminat dan juga pengurusan kelab.

Dengan kemenangan itu, Man. United kini mengungguli Kumpulan F Liga Juara-Juara dengan enam mata selepas tiga perlawanan, dua mata di depan Atalanta dan Villareal yang berkongsi empat mata.

Selepas ini, skuad kendalian Solksjaer bakal berdepan tugas getir apabila melayan kunjungan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford pada Ahad. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram