Klopp salah taktik lawan Brighton, tegur legenda Liverpool


  • Podium
  • Isnin, 01 Nov 2021

KLOPP ketika aksi EPL antara Liverpool dan Brighton and Hove Albion pada Sabtu. — AFP

BEKAS penyerang Liverpool, Stan Collymore percaya Jurgen Klopp membuat keputusan yang salah dalam perlawanan menentang Brighton and Hove Albion pada Sabtu.

The Reds terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 2-2 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan pendahulu Chelsea menjarakkan kedudukan kepada tiga mata.

Jordan Henderson membuka jaringan awal untuk skuad kendalian Jurgen Klopp, sebelum Sadio Mane meletakkan Liverpool di hadapan 2-0.

Bagaimanapun, Brighton bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan Enock Mwepu dan Leandro Trossard, menyaksikan Liverpool mencatat keputusan seri keempat dalam 10 perlawanan liga musim ini.

Ketika kedudukan terikat 2-2, Klopp menunggu sehingga minit ke-78 untuk memasukkan Diogo Jota bagi menggantikan Roberto Firmino.

Collymore percaya Klopp menunggu terlalu lama sebelum membawa Jota masuk, dan menjelaskan mengapa ia sukar untuk pemain Portugal itu untuk memberi impak pada lewat permainan.

"Saya fikir Diogo Jota sepatutnya masuk pada minit ke-60 hingga 65, dan tidak menunggu sehingga minit ke-78," kata Collymore kepada Empire of the Kop.

"Kadang-kadang pertukaran kecil seperti itu sedikit lebih awal, (untuk) memaksa isu itu.

“Liverpool tidak mempunyai sebarang masalah dengan penyerang itu untuk menjaringkan gol, tetapi saya sentiasa fikir masa terbaik untuk melakukan pertukaran, untuk masuk dan memberi impak kepada permainan, ialah pada minit ke-60 hingga 65.

"Pada minit ke-60, anda memberi seseorang pemain lebih setengah jam. Pada minit ke-65 anda biasanya akan melihat seseorang memanaskan badan untuk masuk dan memberi impak.

"Minit ke-78 mungkin terlalu lewat," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram