'Apa yang berlaku kepada Man City, boleh terjadi kepada Chelsea'


  • Podium
  • Ahad, 31 Okt 2021

TUCHEL menggesa pemain Chelsea untuk terus memberi fokus penuh dalam perlawanan demi perlawanan. — Agensi

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menganggap kekalahan Manchester City kepada Crystal Palace pada Sabtu tidak memberi sebarang impak signifikan kepada pasukannya dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kekalahan skuad Man City 0-2 kepada Crystal Palace menyaksikan The Blues mendahului lima mata dalam carta liga, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu EPL.

Bagaimanapun, Tuchel menolak idea bahawa keputusan itu akan menentukan hala tuju terhadap keseluruhan kejuaraan.

Pengurus dari Jerman itu menggesa Chelsea untuk terus memberi fokus penuh kepada permainan bagi mengelak daripada nasib malang pada musim ini.

Ditanya sama ada kehilangan mata Liverpool dan Man City menjadikan kemenangan Chelsea lebih manis, dia berkata: “Pertama sekali ia terlalu awal dan kedua, kami mahu fokus kepada diri sendiri.

"Apa yang berlaku kepada Man City boleh terjadi kepada kami. Perjalanan kami masih jauh lagi. Jika anda fikir kami gembira (dengan kekalahan Man City), ia sama sekali tidak benar," katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan Chelsea kini mula merapatkan jurang dengan kelab pesaing dan hampir menyamai standard Manchester City dan Liverpool sejak beberapa tahun lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram