Selamat tinggal 'Lingardinho'


  • Podium
  • Selasa, 12 Okt 2021

LINGARD (kiri) gagal mendapatkan kepercayaan Solskjaer untuk berada dalam kesebelasan utama sejak kembali daripada pinjaman Julai lalu. — Reuters
MANCHESTER United akan mempertimbangkan untuk melepaskan pemain sayapnya, Jesse Lingard pada harga 'diskaun' £15 juta ketika jendela perpindahan Januari sekiranya dia terus menolak kontrak baharu.

Penyerang England gagal menarik perhatian pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer sejak kembali dari pinjaman dari West Ham United pada Julai lalu.

Menurut laporan, pemain berusia 28 tahun itu telah berbincang dengan kelab mengenai lanjutan kontraknya yang akan berakhir pada akhir musim ini.

United dilaporkan menawarkan gaji sekitar 135,000 pound (RM764,917) seminggu, dan Lingard difahamkan mahu kekal di Old Trafford, tetapi mahukan kepastian tentang masa bermainnya sebelum menandatangani kontrak baharu.

United bersedia untuk melepaskan Lingard pada Januari ini kerana tidak mahu kehilangannya secara percuma sekiranya kontrak pemain itu tidak disambung sebelum akhir musim ini.

The Red Devils dilaporkan mahu menjual pemain itu pada harga £25 juta (RM141.7 juta) pada jendela perpindahan musim panas lalu, tetapi tiada kelab yang mahu membayar nilai tersebut.

Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk West Ham dan Leicester telah menunjukkan minat terhadap pemain itu. — Agensi