JURGEN Klopp meluahkan rasa simpati terhadap rakan sejawatannya, Ole Gunnar Solskjaer setelah Liverpool menewaskan Manchester United 5-0 di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Pengurus Liverpool itu mengakui bahawa beliau tidak mahu berada di posisi Solksjaer.
"Perkara terakhir yang saya mahukan adalah berada di tempatnya ketika ini.
"Begitulah keadaannya di saat-saat ketika anda kehilangan permainan, terutama ketika anda tewas dalam aksi derbi, perkara ini pernah terjadi pada saya sekali dua sebelum ini.
"Anda tidak mahu ditemubual dan menjawab soalan kerana ia pasti bukan malam yang indah," katanya.
Klopp juga mengakui pada mulanya beliau menyangka Cristiano Ronaldo mungkin dilayangkan kad merah kerana mengasari Curtis Jones, namun memahami alasan pemain Portugal itu tidak dibuang padang.
"Sudah tentu saya menyaksikannya dan ia kelihatan seperti kad merah, tetapi saya diberitahu sama ada dia menyepak bola atau pun tidak mendengar bunyi wisel.
"Saya tidak mahu Ronaldo mendapat kad merah. Saya tidak bermaksud apa-apa tetapi saya rasa perkara itu hanya perkara biasa," jelasnya.
Gol Naby Keita, Diogo Jota dan jaringan hatrik Mohamed Salah menyaksikan The Reds memperoleh kemenangan selesa.
Man. United kini terperosok ke tangga ketujuh liga setelah tewas di tangan Aston Villa dan Leicester City musim ini, selain turut ditewakkan Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara serta ditunjukkan jalan keluar oleh West Ham United dalam aksi Piala Liga.
The Red Devils yang pada mulanya dijangka menjadi pencabar kejuaraan tahun ini bersama Liverpool, Manchester City dan Chelsea, namun kini jauh ketinggalan tujuh mata di belakang The Reds yang mengutip 21 mata, satu mata di belakang Chelsea di puncak carta EPL. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram