
SKUAD Kancil tidak boleh mengambil mudah keupayaan pasukan lawan sebaliknya perlu bersedia untuk memastikan prestasi pasukan terus meningkat, kata Pengendali Melaka United FC (MUFC) Zainal Abidin Hassan.
Menurutnya, meskipun Melaka United telah mengesahkan slot ke suku akhir selepas mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut, dia sentiasa mengingatkan anak-anak buahnya untuk terus mengekalkan momentum kemenangan.
MUFC kini berbaki dua perlawanan timbal balik Piala Malaysia Kumpulan C selepas menewaskan Kelantan United FC 2-1 dalam aksi di Stadium Hang Jebat pada Jumaat.
"Perlawanan menentang Kelantan United tidak mudah kerana dalam Kumpulan C belum ada pasukan yang layak ke suku akhir dan ini adalah peluang terakhir untuk Kelantan melayakkan diri.
"Kami banyak mensia-siakan peluang keemasan pada separuh masa pertama hingga membebankan pasukan hingga ke wisel penamat," katanya.
Tambah beliau lagi, apa yang penting ketika bertandang ke Kota Bharu untuk aksi timbal balik bertemu dengan Kelantan, dia mahu para pemain mempertingkatkan momentum dan memperbaiki kelemahan yang ada supaya mampu melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.
Mengulas lanjut Zainal berkata walaupun bukan mudah namun berdasarkan prestasi semasa pasukan Hang Tuah itu beliau mahu mencipta sejarah bersama para pemainnya.
Katanya lagi, di samping itu, dia mempunyai keyakinan tinggi dengan kemampuan mereka untuk pergi lebih jauh pada peringkat seterusnya.
"Niat dan hasrat saya amat tinggi, tetapi mulai sekarang saya perlu bentuk pasukan untuk maju hingga ke akhir, insya-Allah suku akhir dan separuh akhir hingga seterusnya, itulah yang saya perlu lakukan.
"Saya juga mengucapkan tahniah, misi kami layak ke suku akhir tercapai atas usaha pasukan daripada pengurusan hingga pemain dan tidak lupa juga kepada penyokong yang pertama kali datang ke stadium untuk memberi sokongan dan kami merindui sorakan mereka," katanya.
Kemenangan itu membolehkan Melaka United kekal di tangga teratas kumpulan C selepas mengumpul sembilan mata.
Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan Melaka dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu adalah sekadar melepasi peringkat suku akhir pada 2017 dan 2019.
Terdahulu, Melaka United yang beraksi di hadapan lebih 1,000 penonton di laman sendiri, membuka jaringan pada minit ke-25 menerusi jaringan penyerang import dari Haiti, Sony Norde.
Kelantan kemudian menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama perlawanan menerusi gol Shuhei Fukai pada minit ke-43.
Bersambung babak kedua Melaka terus melakukan percubaan dan berjaya menambah jaringan pada minit ke-54 menerusi Adriano Narcizo yang merembat kencang ke arah pintu gol Kelantan menewaskan penjaga gawangnya, Mohammad Fikri Che Soh.
Keputusan itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan untuk membolehkan skuad Zainal membawa pulang tiga mata.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram