
SELEPAS cipta kejutan dalam dua perlawanan awal Piala Malaysia, Melaka United tidak rela menghidangkan aksi longlai di depan penyokong sendiri pada aksi menentang Kelantan United di Stadium Hang Jebat, malam Jumaat.
Melaka boleh dikatakan bertuah kerana dapat menyambung aksi di depan penyokong sendiri selepas kebenaran diberikan kerajaan untuk ‘pemain ke 12’ kembali ke stadium.
Situasi itu juga yang sedang bermain di fikiran pemain sayap Melaka United, S Kumaahran yang mengharapkan sesuatu yang positif memapu dilakar untuk mencerahkan peluang ke suku akhir.
“Corak permainan kami nyata berbeza berbanding aksi liga kerana kita membuat persiapan yang lebih baik terutama dalam aspek disiplin semasa perlawanan.
“Pemain import yang baharu (Adriano dan Giovane Gomes) juga memberikan sumbangan cukup besar dalam aspek mencipta serangan.
“Dengan kehadiran penyokong buat pertama kali, saya harap situasi itu akan berikan motivasi kepada semua pemain untuk peraga aksi lebih baik
“Saya harap kami mampu meneruskan momentum kemenangan bagi kukuhkan peluang ke suku akhir,” katanya.
Dalam dua aksi awal, Melaka United menewaskan Negeri Sembilan 2-0 namun lawan itu sudah pun sah menarik diri selepas 20 pemainnya disahkan positif Covid-19.
Seterusnya, anak buah Zainal Abidin Hassan mengejutkan calon pilihan, Kedah Darul Aman 3-1 sekali gus memimpin carta Kumpulan C.
Dua lagi perlawanan yang pada Jumaat adalah Sabah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PJ City bertemu Kelantan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram