NAMA Azfar Fikri Azhar terus harum dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila sekali lagi muncul wira negara ketika bantu skuad Bawah 22 Tahun (B-22) menang 1-0 ke atas Mongolia dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-23 2023 di Stadium MFF, Ulaanbaatar, pada Khamis.
Dua gol yang dijaringkan Azfar pada kempen kali ini membolehkannya mendahului senarai penjaring terbanyak.
Bagaimanapun, Azfar tidak mahu mendabik dada kerana lebih selesa untuk memberikan kredit kepada seluruh pasukan yang berhempas pulas buru kemenangan kedua kali ini.
“Terima kasih kepada semua pemain, kami bekerja keras dan sentiasa mengejar bola. Akhirnya kami berjaya dapatkan keputusan yang diinginkan.
“Perasaan yang cukup mengujakan. Terima kasih juga kepada peminat yang sentiasa berikan kata-kata semangat kepada kami.
“Pastinya saya cukup berharap mampu tampil lebih baik dalam aksi terakhir menentang Thailand nanti,” katanya.
Enam mata maksimum yang diraih memastikan Malaysia berada di puncak Kumpulan J, diikuti Thailand (4 mata), Mongolia (1 mata) dan Laos tanpa sebarang mata.
Ahad ini, skuad kendalian Brad Maloney bakal turun buat kali terakhir di bumi Mongolia menentang Thailand bagi menentukan siapa lebih layak menjuarai Kumpulan J. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram