TIGA perlawanan aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia bakal berlangsung malam Khamis dengan menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) turun dengan misi buru kemenangan ketiga berturut-turut.
JDT dijadualkan bertemu Sabah yang kini begitu terdesak buru kemenangan pertama selepas sekadar seri dalam dua aksi awal.
Walaupun sedar tugas sukar menanti, anak buah Datuk Ong Kim Swee tetap memasang impian lakar kejutan terutamanya ketika beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium Likas.
“Tidak nafikan kami memang terdesak untuk menang dalam tiap perlawanan yang lalui tetapi di saingan Piala Malaysia, suasananya sangat berbeza.
“Saya rasa ini masa terbaik buat pemain membuktikan sesuatu dan ambil cabaran ini demi peminat kerana ramai tahu Sabah sudah lama tidak menang.
“Saya tahu sememangnya sukar (lawan JDT) kerana mereka sebuah pasukan terbaik di Liga Malaysia tetapi kami akan berusaha kerana ini perlawanan Piala Malaysia yang pertama kali di tempat sendiri,” kata pertahanan Sabah, Nazirul Naim Che Hashim.
Dua lagi perlawanan menyaksikan Melaka United menentang Kelantan United dan PJ City melayan kunjungan Kelantan.
Aksi ketiga peringkat kumpulan malam esok dan Sabtu adalah perlawanan Piala Malaysia yang pertama bakal dihadiri penyokong di stadium. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram