KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail dilantik sebagai ahli lembaga Kesatuan Pemain Dunia, FIFPRO.
Izham akan mewakili Divisyen Asia/ Oceania bersama bekas pemain kebangsaan Australia, Kathryn Gill.
“Saya berbesar hati apabila dipilih untuk menggalas jawatan ini dan saya berharap dapat membawa idea baharu, suara dan inspirasi pemain dari semua latar belakang terutamanya di Asia,” katanya.
Izham menggalas tanggungjawab CEO PFAM sejak 2014 dan mula menjadi ahli lembaga FIFPRO Asia/ Oceania pada 2015.
Sejak bergiat aktif bersama PFAM, Izham mewakili pemain tempatan dan juga import dalam mencari penyelesaian terhadap pertikaian kontrak dengan membawa kes ke pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Izham juga mengetuai PFAM menjalin hubungan bersama FAM dengan mencapai Memorandum Persefahaman dan menambah baik kontrak semua pemain di Malaysia.
“Selepas berkhidmat sebagai lembaga pengarah Divisyen Asia/ Oceania sejak enam tahun lalu, saya bangga dengan pencapaian kami di peringkat Asia terutamanya dalam hal keahlian, advokasi dan komunikasi.
“Kami berada di landasan yang lebih baik untuk berkhidmat kepada pemain bola sepak seluruh Asia dan saya berharap dapat melakukan perkara sama di peringkat dunia,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram