RONALD Koeman dipecat daripada jawatan ketua jurulatih Barcelona pada Khamis selepas 14 bulan mengendalikan kelab itu, menurut kenyataan kelab.
Barca hanya memungut 15 mata daripada 10 perlawanan liga dan sudah tewas sebanyak dua kali dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim ini.
Kelab Catalan itu kini berada di tangga kesembilan liga, enam mata di belakang pendahulu selepas tewas di tangan Rayo Vallecano 0-1 dalam aksi Liga Sepanyol (La Liga) pada Khamis.
Keputusan itu merupakan kekalahan ketiga Barca dalam empat perlawanan terakhir mereka, yang sebelum ini tewas dalam aksi El Clasico kepada Real Madrid pada Ahad.
Menurut kenyataan Barca, Koeman diberitahu tentang pemecatan itu oleh presiden kelab, Joan Laporta sejurus selepas aksi mengecewakan di Estadio de Vallecas itu.
“Presiden kelab, Joan Laporta, memaklumkan kepadanya (Koeman) keputusan itu selepas kekalahan menentang Rayo Vallecano.
"Ronald Koeman akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan pada Khamis," kata kenyataan itu.
Bercakap selepas kekalahan tersebut, Koeman berkata: "Ia (kedudukan liga Barcelona) menunjukkan kami berada dalam keadaan yang tidak baik.
"Pasukan telah kehilangan keseimbangan dalam skuad, kehilangan pemain yang sangat penting, ia jelas.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini kelab lain mengukuhkan skuad mereka setiap musim tetapi kami tidak, ia juga jelas."
Legenda Barca yang kini sedang menguruskan kelab Qatar, Al Sadd, Xavi, merupakan salah satu pilihan untuk menggantikan Koeman.
Selain itu, bos Liverpool, Jurgen Klopp turut berada dalam radar pengurusan tertinggi Barcelona.
Menurut laporan media Sepanyol, Barcelona melihat Klopp sebagai calon yang paling sesuai untuk membawa kelab itu kembali ke zaman kegemilangannya.
Namun, kelab sedar bahawa peluang untuk mengikat pengendali dari Jerman itu tipis kerana dia masih mempunyai kontrak bersama The Reds sehingga 2024.
Klopp sebelum ini pernah mengatakan bahawa dia akan menghormati kontrak bersama Liverpool tetapi tidak berhasrat untuk menyambungnya.
Pengurus berusia 54 tahun itu berkata, selepas itu dia mahu berehat selama setahun sebelum membuat keputusan tentang masa depannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram