NAMA Antonio Conte kerap disebut-sebut sejak beberapa hari ini untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Manchester United sejurus kelab tersebut tewas 0-5 kepada musuh tradisi, Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad lalu.
Rata-rata para peminat Man United bersetuju sekiranya Conte dilantik dan ada juga tidak bersetuju.
Menyoroti portfolio karier Conte sebagai pengurus, beliau bermula sebagai penolong pengurus di kelab Itali, Siena sebelum menjadi pengurus di Arezzo.
Selepas itu, Conte 'berkelana' ke Bari, Siena dan Atalanta sebelum menjadi pengurus Juventus pada 2011.
Selepas tiga musim yang gemilang di Juventus, Conte menjadi jurulatih Itali dan membawa negara terbabit ke peringkat suku akhir Euro 2016.
Sejurus tamat kejohanan berkenaan, Conte dilantik sebagai pengurus Chelsea dan menjuarai EPL pada musim pertamanya di England.
Pada 2019, Conte menjadi pengurus Inter Milan dan berjaya membawa kelab itu merangkul Serie A pada musim keduanya.
Tidak hairanlah, Conte dilabelkan 'The Godfather' Itali dalam kalangan pemerhati bola sepak rentetan kejayaan yang diraihnya sama ada domestik mahupun tugasan skuad kebangsaan.
Jika melihat kepada formasi yang diterapkan oleh Conte, beliau menggemari formasi 3-5-2.
Kunci kepada formasi adalah tiga pemain bek tengah yang berperanan sebagai 'ball playing defender'; seorang pemain tengah yang memegang peranan sebagai 'deep-lying playmaker' di belakang dua pemain tengah menyerang serta bertenaga dan dua penyerang utama.
Pemain pertahanan di bahagian kiri dan kanan juga merupakan kunci kepada taktikal Conte, mencipta formasi 3-3-4 ketika menyerang dan berubah menjadi 5-3-2 sewaktu pasukannya tidak memegang bola.
Dari aspek bertahan, pasukannya sangat mantap dan tersusun selain efisien ketika melakukan serangan balas. Walaupun corak taktikal agak keras bagi kebanyakan orang, namun sukar untuk meragui kemampuannya.
Conte mirip pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, yang menuntut setiap pemainnya bekerja keras, agresif dan memiliki intensiti tinggi tanpa ada pengecualian.
Walaupun formasi 3-5-2 adalah formasi kegemaran Conte, tetapi beliau seorang pengurus yang sangat teliti dan sering membuat perubahan kecil untuk mendapatkan prestasi yang terbaik daripada pemainnya atau mendapatkan kelebihan berbanding pasukan lawan.
Conte adalah seorang pengurus yang hebat dari segi taktikal dan juga individu yang sering memberikan motivasi tetapi beliau turut meningkatkan mutu permainan para pemainnya di padang latihan.
Adakah dia calon yang sesuai menggantikan Solksjaer di Old Trafford? Kita tunggu dan lihat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram