ANTONIO Conte mahu Manchester United mendapatkan tandatangan pemain pertahanan Inter Milan, Stefan De Vrij jika kelab berkenaan mahu beliau mengambil alih tempat Ole Gunnar Solksjaer.
Ura-ura mengatakan beliau akan mengambil alih peranan sebagai pengurus di Old Trafford tercetus sejak beberapa minggu lepas, berikutan pencapaian hambar Man United di awal musim.
Solksjaer semakin berdepan tekanan dipecat selepas kekalahan memalukan 0-5 The Red Devils ke atas musuh ketat Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford pada Ahad minggu lalu.
Ketika ini, Solksjaer dikatakan hanya memiliki tiga perlawanan untuk membuktikan kemampuannya termasuk berdepan Tottenham Hotspur minggu ini.
Portal Inter Live menegaskan, Conte mahu Man United memenuhi tuntutannya sebelum beliau komited dengan tugas itu.
Ini termasuk pembelian De Vrij. Jika berjaya membeli De Vrij, besar kemungkinan duo tonggak Man United, Harry Maguire dan Victor Lindelof tiada dalam perancangan Conte selepas ini.
Terdapat laporan Man United akan mengemukakan tawaran sehingga €32 juta (RM132 juta) bagi mendapatkan De Vrij, namun perjanjian mustahil dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang.
Tambahan pula, Man United tidak memiliki hubungan yang baik dengan ejen De Vrij, Mino Raiola.
Sementara itu, bekas pemain pertahanan Man United, Gary Neville mendakwa, Conte kurang sesuai menerajui The Red Devils sekiranya mahu menggantikan tempat Solskjaer.
"Conte bersedia untuk sertai kelab itu tetapi saya tidak akan membawanya ke Manchester United.
“Saya rasa Antonio Conte tidak sesuai untuk Manchester United. Saya mungkin salah, mereka mungkin membawanya ke sini esok.
“Kami telah melihat jurulatih dengan gaya khusus seperti Louis van Gaal yang tidak sesuai di sini. Namun, saya tidak kata tiada pengurus yang boleh datang ke Manchester United dan melakukannya dengan lebih baik," kata Neville. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram