Solksjaer sah akan dipecat, MU kenalpasti pengganti


  • Podium
  • Selasa, 26 Okt 2021

SOLSKJAER semakin hampir dipecat oleh Man. United. — AP

ANTONIO Conte dilaporkan semakin hampir menjadi pengurus Manchester United, menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Masa depan Solskjaer bersama Man United semakin 'samar' selepas pasukan itu tewas 0-5 kepada Liverpool di stadium Old Trafford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad lalu.

Menurut laporan media antarabangsa, kebanyakan pemain Man. United juga hilang kepercayaan terhadap taktikal Solskjaer.

Lembaga Pengarah Man. United juga dikhabarkan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan masa depan pengurus dari Norway itu pada Isnin.

Malahan, pengurusan Man. United dilaporkan sudah berhubung dengan Conte pada Isnin.

Berdasarkan tweet wartawan Itali terkemuka, Fabrizio Romano, Conte tidak gemar untuk mengambil alih sesebuah pasukan ketika musim liga sedang berjalan namun beliau membuat pengecualian berkenaan hanya untuk Man. United.

Selain itu, Conte juga dikatakan bersedia menguruskan barisan pemain Man. United sedia ada.

Daripada tiga perlawanan liga terakhir Man. United, pasukan itu hanya merekod satu seri dan dua kekalahan.

Kekalahan kepada Liverpool tempoh hari nyata mengundang kemarahan para penyokong Man. United di seluruh dunia dan mahu Solskjaer berundur daripada jawatannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram