MANCHESTER United kini dilaporkan berada dalam situasi bergolak sekali gus memungkinkan Ole Gunnar Solskjaer melangkah keluar lebih awal dari Old Trafford.
Ketika ini juga, misi pengurus itu menyelamatkan kedudukannya kini bergantung kepada tiga aksi getir, dimulakan menentang Tottenham Hotspur, Atalanta dan kemudiannya Manchester City.
Daripada laporan, bilik persalinan The Red Devils kini berdepan situasi tegang dan terbaharu membabitkan soal kontrak Paul Pogba.
Laporan Sky Sports News juga menyebut yang beberapa pemain tidak pasti dan mula mempersoalkan cara taktikal Solskjaer.
Pertemuan yang dilakukan itu juga memberi ruang kepada pemain untuk meluahkan sebarang isu yang sedang dihadapi
Laporan The Times menyebut, salah satu perkara yang dibangkitkan adalah pengiktirafan Harry Maguire sebagai kapten, hanya selepas enam bulan menyertai Man United.
Dalam pertemuan sama, tidak hanya Solskjaer yang mendapat kecaman sebaliknya laporan juga mendakwa salah seorang pemain juga menghamburkan kritikan kepada rakan sepasukan kerana kurang bermotivasi ketika latihan.
Cristiano Ronaldo juga dianggap sebagai sebahagian daripada masalah dalam pasukan.
Ronaldo sendiri dikatakan kecewa dengan beberapa taktik Solskjaer, namun ketika ini kelab itu seakan masih teragak-agak untuk ‘berpisah’ dengan pengurus itu bagi mencari pengganti sesuai.
Ia berikutan, kelab kurang yakin dengan kredibiliti penolong jurulatih untuk mengisi kekosongan Solskjaer buat sementara seketika jika pengurus itu dipecat.
“Saya tidak peduli apa yang dikatakan tetapi jika mana-mana pengurus sekali pun di Eropah, kalau tewas 0-5 di laman sendiri, maknanya pengurus itu sudah pun tiada sebenarnya.
“Manchester United hanya menang satu daripada lima perlawanan Liga Perdana Inggeris, ini ternyata tidak boleh diterima.
“Tetapi pengurus itu masih kekal. Saya tidak tahu apa yang berlaku dalam kelab,” kata pundit Sky Sports, Paul Merson. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram