Lepas skor hatrik lawan MU, Salah tuntut gaji RM2.8 juta seminggu


  • Podium
  • Selasa, 26 Okt 2021

SALAH telah menjaringkan 15 gol daripada 12 perlawanan pada musim ini. — Reuters

PEMAIN sayap sensasi Liverpool, Mohamed Salah dilaporkan meminta gaji bernilai 500,000 ribu pound (RM2.8 juta) seminggu untuk kekal di Anfield, menurut sumber kelab itu.

Kontrak pemain antarabangsa mesir itu bersama The Reds bakal berakhir pada hujung musim 2023 dengan Liverpool dilihat terdesak untuk mengekalkan Salah lebih lama di Anfield, terutama selepas persembahan menakjubkan melakar hatrik ketika mengerjakan Manchester United 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad minggu lalu.

Sumber melaporkan, pemilik Liverpool, Fenway Sports Group akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan Salah dan perbincangan sedang diadakan dengan ejen pemain tersebut.

Menurut sumber itu lagi, pengurusan kelab sedar bahawa mereka bukan sahaja perlu menjadikan pemain berusia 29 tahun itu pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah kelab, tetapi juga harus meletakkannya dalam senarai pemain dengan gaji tertinggi di dunia.

Selepas aksi memukau Salah pada Ahad, pengurusan kelab kini berada dalam tekanan untuk memenuhi permintaan pendahulu kasut emas EPL itu.

Salah kekal konsisten menjaringkan gol dalam kesemua 10 perlawanan dan tiga gol di Old Trafford pada Ahad meningkatkan jumlah jaringannya musim ini kepada 15 gol daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan.

Liverpool awal tahun ini telah melanjutkan kontrak beberapa bintangnya termasuk Virgil van Dijk, Alisson Becker, Jordan Henderson, Fabinho, Trent Alexander-Arnold dan Andrew Robertson. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram