Luqman kena 'rantai? No problem...


  • Podium
  • Rabu, 27 Okt 2021

WALAUPUN 'dirantai' pertahanan lawan, Luqman Hakim yang bermain bersama kelab Belgium, KV Kortrijk miliki cara tersendiri untuk bantu pasukan.

KEMATANGAN skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara sekali lagi ditagih untuk aksi lebih getir menentang tuan rumah, Mongolia di Stadium MFF, Ulaanbaatar, pagi Khamis.

Selepas lulus ujian pertama, anak buah Brad Maloney harus tampil lebih baik memandangkan Mongolia mungkin berada dalam keadaan terdesak untuk raih mata penuh di gelanggang sendiri.

Dengan apa yang dipersembahkan ketika aksi dengan Laos, turut dapat dilihat bintang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin menjadi perhatian hingga ‘dirantai’ oleh pertahanan lawan.

Bagaimanapun, pengalamannya bermain dan berlatih bersama kelab Belgium, KV Kortrijk nyata mematangkan penyerang dari Kelantan itu terutamanya membabitkan peranannya menarik lebih ramai pertahanan lawan untuk mengekorinya.

Situasi ini mungkin memaksa pemain lain memikirkan cara lain bagi memanfaatkan ruang yang dicipta oleh Luqman dan positifnya, seluruh pasukan nyata sudah pun berada dalam keadaan bersedia.

Buktinya, Azfar Fikri Azhar muncul wira negara selepas meledak gol kemenangan ke atas Laos.

Untuk aksi kedua kali ini, sudah pasti Maloney juga ada ‘resepinya’ tersendiri untuk menampung segala lopong yang ada dalam pasukan.

Dalam masa sama, Maloney juga menuntut kerja keras anak buahnya untuk tampil lebih baik kerana sedar cabarannya pasti lebih besar dalam baki dua perlawanan.

“Kami bermain di atas padang yang cukup laju dan ini akan beri lebih banyak cabaran.

“Pastinya bukan tugas senang untuk kami hadapi dua perlawanan selepas ini,” kata Maloney.

Ketika ini, tuan rumah mungkin berada dalam keadaan terdesak untuk buru tiga mata pertama selepas sekadar seri 1-1 dengan Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

luqman hakim, b22, mongolia