JIKA sebelum ini Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pernah dihimpit kontroversi, kini segalanya berubah 360 darjah.
Ia rentetan NFDP yang berpangkalan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang kini mendapat pengiktirafan daripada Program Pembangunan Bakat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi audit yang dilakukan Double Pass bagi Program Pembangunan Bakat FIFA mendapati segalanya sempurna dan menepati piawaian yang sepatutnya ada di sesebuah akademi bola sepak.
“NFDP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalinkan kerjasama bersama FIFA bagi melakukan audit bagi AMD melalui program FIFA Talent Development Program.
"Melalui program ini, AMD dinilai oleh sebuah badan penilai iaitu Double Pass dari Belgium. Double Pass merupakan sebuah badan yang menjadi rujukan antarabangsa berkenaan perbandingan penanda aras dan pembangunan bakat dalam sukan bola sepak.
“Semua program pembangunan pemain di AMD sepanjang tahun 2020 dan 2021 dinilai. Langkah ini bertujuan meletakkan AMD setaraf dengan akademi bola sepak di seluruh dunia,” menurut perkongsian NFDP.
Pengiktirafan ini pastinya sesuatu yang hebat buat pembangunan bola sepak negara kerana Double Pass berpengalaman dalam membuat penilaian dan pernah bekerjasama dengan hampir 700 kelab profesional dari Liga Perdana Inggeris, Liga Jepun, Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Bundesliga dan banyak lagi.
Dengan perkhabaran ini, penggiat dan juga peminat pastinya mengharapkan NFDP mampu jadi ‘kilang’ kepada industri bola sepak negara seperti yang pernah dilakukan pada graduan pertama.
Sejak mula dilancarkan secara rasmi kira-kira tujuh tahun lalu, hasil sulung NFDP nyata bergemerlapan apabila berjaya melahirkan pemain yang menjadi rebutan dan ada juga yang berkelana di Eropah.
Luqman Hakim Shamsudin menjadi penanda aras ketika pemain kelahiran Kelantan itu kini bermain bersama kelab utama Belgium, KV Kortrijk dan terbaharu, penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman juga berpeluang ikut jejak apabila ditawarkan sesi percubaan dengan kelab Divisyen 2 Sepanyol, CF Fuenlabrada, 10 November ini.
Antara aspek yang disentuh dalam laporan audit itu secara jelas menunjukkan AMD mempunyai visi dan hala tuju yang jelas dalam pembangunan bakat remaja.
Selain itu, pemain juga sering diberikan perangsang dan sokongan untuk terus berjaya malah turut menjalankan strategi dalam menghadapi pemain yang lewat matang serta menyediakan kurikulum spesifik mengikut umur.
AMD juga menyediakan dokumentasi lengkap berkaitan cara permainan setiap peringkat umur dan penggunaan video analisis sebagai alat untuk mendapatkan maklum balas terhadap mutu permainan.
AMD juga menyediakan satu program untuk mencegah kecederaan daripada berlaku kepada setiap pemain dan data berkaitan minit bermain setiap pemain dianalisis secara sistematik bagi mengurangkan bebanan.
Jurulatih dan tenaga pengajar di AMD juga memenuhi standard bagi sebuah akademi berprestasi tinggi serta mempunyai sistem pendidikan tersusun untuk menyumbang kepada pembangunan bakat pelatih secara menyeluruh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram