DIOGO Jota benar-benar teruja dengan peranannya ketika membantu Liverpool melakar kemenangan bersejarah 5-0 menentang Manchester United dan berjanji bahawa pemain The Reds akan kekal berusaha menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Penyerang Portugal itu menjaringkan gol kedua The Reds di Old Trafford pada Ahad, selain jaringan pembukaan awal Naby Keita dan hatrik Mohamed Salah memastikan mimpi ngeri Man United.
Namun, Jota mendesak rakan-rakan sepasukannya supaya tidak mendabik dada memandangkan perjalanan EPL masih panjang.
"Ia kemenangan bersejarah tetapi kami sebagai pemain tidak boleh dibuai kemenangan. Saya fikir penting untuk kami menjaga posisi kami di padang. Ia hanya tiga mata, masih jauh lagi.
"Sukar untuk dipercayai mengenai kemenangan itu, sejujurnya. Kami sentiasa mengharapkan perlawanan yang sengit (ketika bertemu Man United), sekurang-kurangnya dari segi keputusan, tetapi saya fikir kami cemerlang terutamanya ketika mendahului jaringan 2-0.
"Dalam 15 minit pertama kami hampir sempurna. Selepas itu, kami melepaskan sedikit serangan balas dan mula kehilangan bola, tetapi akhirnya ia adalah keputusan bersejarah dan satu kemenangan untuk diingati oleh peminat buat seketika," kata Jota.
Pada masa sama, Jota berkata, pasukannya jelas memerlukan Salah menerajui jentera penyudah Liverpool dan berharap prestasi itu dapat diteruskan.
"Sejarah tercipta, statistik Salah juga menakjubkan. Seronok melihat keinginan untuk memastikan segala-galanya sempurna buat pasukan. Anda akan terdesak untuk mengekalkan rekod bersih sebelum permainan tamat.
"Saya rasa rekod bersih adalah penting kerana apabila boleh memenangi perlawanan biarpun hanya menjaringkan satu gol.
"Saya rasa itulah yang perlu kita perjuangkan kerana dengan kualiti yang ada di posisi penyerang, saya cukup pasti kita akan memenangi perlawanan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram