Skuad B-22 negara langkah kanan


  • Podium
  • Isnin, 25 Okt 2021

JARINGAN tunggal Azfar Fikri memastikan kemenangan mutlak buat skuad muda negara untuk mendahului saingan Kumpulan J aksi kelayakan Piala Asia B-23 2023. — Facebook/FAM

SKUAD Bawah 22 Tahun (B-22) negara memulakan kempen kelayakan Piala Asia B-23 2023 dengan langkah kanan apabila menewaskan Laos di Stadium MFF di Ulaanbaatar, Mongolia pada Isnin.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney kini mengetuai carta Kumpulan J selepas Thailand dan tuan rumah sekadar seri 1-1.

Pada awal permainan, Laos berjaya memberikan tekanan kepada pasukan negara yang dilihat sukar untuk mencipta peluang ketika lawan menerapkan permainan penuh berdisiplin mengekang gerakan pemain negara.

Kecemerlangan pertahanan negara juga menafikan impian Laos yang dilihat cukup merbahaya ketika situasi serangan balas.

Keputusan Maloney memasukkan Quentin Cheng nyata berbaloi apabila pemain Penang itu hanya memerlukan tiga minit untuk mencipta umpanan menarik yang disempurnakan Azfar Fikri Azhar pada minit ke-68.

Di penghujung permainan, Laos seakan mengendurkan tekanan apabila skuad negara dilihat mula selesa untuk mengatur gerakan namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

b-22, piala asia b-23, mongolia