Majoriti skuad Negeri Sembilan positif Covid-19, jadikan iktibar


  • Podium
  • Isnin, 25 Okt 2021

DAMIEN Lim (kiri) akui kejadian menimpa Negeri Sembilan akan terus diingati dan dijadikan pedoman. — Facebook/FAM

KEJADIAN 20 pemain dan empat pegawai dijangkiti Covid-19 nyata menjadi iktibar buat Negeri Sembilan dan pasukan lain yang masih meneruskan aksi di Piala Malaysia.

Walaupun perit untuk menerima hakikat penarikan diri daripada pertandingan itu, segalanya seakan nasi sudah menjadi bubur buat kem Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, penjaga gol skuad Hoben Jang Hoben, Damien Lim mahu melihat situasi itu sebagai sesuatu yang positif untuk tampil lebih baik pada masa akan datang.

Damien berasakan, tiada guna untuk meratapi apa yang berlaku dan seluruh pasukan perlu menfokuskan kepada usaha kembali pulih daripada jangkitan.

“Saya sebenarnya masih terasa lagi apabila dapat tahu kami semua positif Covid-19, tetapi inilah kehidupan yang perlu ditempuhi.

“Kami kena reda kerana yang penting sekarang adalah pasukan kena kembali sihat.

“Sebelum ini, saya memang demam selepas dah tahu positif, sekarang hanya batuk sahaja dan deria rasa ada sedikit hilang kalau nak dibandingkan masa awal-awal hari itu, tetapi semuanya sudah bertambah baik.

“Semestinya saya akan ingat apa yang berlaku ini sebab rasanya kalau bukan pasal kami positif Covid-19, impian untuk ke suku akhir itu mesti ada.

“Saya percaya kita sebenarnya mampu untuk teruskan perjuangan ini, tetapi hidup kena diteruskan dan kena terus kuat untuk bersedia musim depan pula”, katanya.

Terdahulu, seramai 20 orang pemain dan empat pegawai Negeri Sembilan disahkan positif hingga memaksa pasukan itu mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada saingan Piala Malaysia selepas hanya sempat beraksi dua perlawanan dalam Kumpulan C.

Ketika ini, skuad Negeri Sembilan sedang menjalani kuarantin, bermula 18 Oktober sehingga 27 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram