Aksi Liverpool penentu masa depan Solskjaer


  • Podium
  • Jumaat, 22 Okt 2021

SOLSKJAER yakin mampu mengalahkan Liverpool pada Ahad. — Agensi

PERLAWANAN Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United bertemu Liverpool di Anfield pada Ahad (jam 11.30 malam waktu Malaysia) merupakan kunci untuk masa depan Ole Gunnar Solskjaer.

Pengurus Manchester United itu sebelum ini awalnya gelisah apabila apabila pasukannya ketinggalan 0-2 kepada Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara pada Khamis.

Namun, The Red Devils kembali bangkit meraih tiga mata menerusi gol daripada Marcus Rashford, Harry Maguire dan Cristiano Ronaldo.

Kemenangan itu memberi sedikit kelegaan buat pengurus berusia 48 tahun itu, dengan pasukannya hanya memenangi perlawanan ketiga dari lapan perlawanan terakhir mereka di semua pertandingan.

Bagaimanapun, pertemuan dengan seteru lama (Liverpool) bakal menambah tekanan buat dirinya.

Legenda Liverpool, Jamie Carragher memberitahu, Liverpool telah menunjukkan bahawa mereka juga merupakan salah satu pasukan terbaik berdasarkan prestasi mereka pada musim ini.

Katanya, Solskjaer tidak memenuhi standard seperti pengurus bola sepak ternama lain seperti Jürgen Klopp, Pep Guardiola dan Thomas Tuchel.

Solskjaer bagaimanapun membidas kenyataan itu dengan menyatakan bahawa dia mempunyai penilaian dan cara mengurus sendiri dan percaya dengan apa yang dia lakukan.

"Saya tidak tahu apa yang dia katakan sekarang tetapi tentu saja kami mampu mengalahkan Liverpool pada Ahad.

"Selagi kelab mempercayai saya, saya cukup yakin bahawa pendapat Carragher tidak akan mengubahnya," katanya.

Solskjaer berdepan banyak desakan pemecatan sepanjang musim ini, terutama setelah kedatangan nama-nama besar seperti Jadon Sancho, Raphael Varane dan Ronaldo.

Kemampuannya untuk memimpin pasukan ke arah kejayaan masih belum dapat dilihat dalam pertandingan terbesar kempen mereka setakat ini.

Selain itu, terdapat khabar yang berlegar bahawa ada beberapa nama besar dicadangkan sekiranya Manchester United memecat Solskjaer.

Antara nama yang disebut adalah Antonio Conte dan Zinedine Zidane. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram