'Peka SOP, jangan jejaskan kemeriahan Piala Malaysia'


  • Podium
  • Ahad, 24 Okt 2021

AHMAD Faizal berharap agar semua pasukan ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Piala Malaysia. — The Star

PEGAWAI dan pemain yang terlibat dalam kempen Piala Malaysia 2021 perlu lebih peka dengan prosedur operasi standard (SOP) kendiri yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Perkara itu dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yag turut menyatakan bahawa kemeriahan kejohanan itu akan terganggu jika perkara tersebut diambil mudah.

"Kita menyediakan SOP begitu ketat namun akhirnya yang paling penting adalah SOP kendiri setiap pemain.

“Kita mesti faham apa yang boleh, apa tidak boleh dilakukan kerana jika kita terjangkit ia boleh menjangkiti lebih ramai individu lain,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar semua pasukan ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan perlu peka dengan SOP ditetapkan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 yang berlangsung di Padang Bola Sepak Lintau, Ipoh, Perak pada Ahad.

Sementara itu Ahmad Faizal berkata pihaknya juga akan terus berhubung dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan setiap pasukan yang bertanding bebas daripada penularan wabak Covid-19.

"Kita perlu tahu status pasukan-pasukan ini daripada semasa ke semasa.

“Ia penting kerana jika berlaku perkara di luar jangka, ia boleh dibendung lebih awal daripada merebak dengan skala lebih besar,” ujarnya.

Terdahulu, skuad bola sepak Negeri Sembilan FC pada Jumaat mengumumkan pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki saingan Piala Malaysia.

Kejohanan itu akan bersambung pada 30 Oktober ini susulan 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif Covid-19.

Keputusan itu terpaksa dibuat memandangkan barisan pemain dan pegawai yang disahkan positif Covid-19 itu perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah melalui pemantauan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram