Kisah di sebalik sejarah penubuhan Gamesbond


  • eSports
  • Sabtu, 23 Okt 2021

GAMESBOND menjadi penganjur kejohanan eMFL Liga Super bersama-sama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada tahun ini. — Gambar Ihsan Gamesbond

PENGALAMAN mahu membeli Sony PlayStation 4 (PS4) namun tiada tempat yang menawarkan perkhidmatan untuk mencuba dahulu konsol berkenaan merupakan titik mula kepada penubuhan entiti bernama Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) pada 2015.

Menurut Pengarah Urusannya, Muhammad Fazli Razak, peristiwa itu dilihat sebagai satu peluang untuk beliau membuka sebuah premis peralatan permainan video dan digabungkan dengan konsep pusat e-sukan pada masa yang sama.

"Kami juga menceburkan diri dalam pelbagai kejohanan dan memberi tumpuan kepada permainan video bola sepak, FIFA.

"Walaupun terdapat banyak syarikat berkaitan industri ini tetapi hanya kami yang menggabungkan jualan, pusat e-sukan dan menguruskan serta menganjurkan kejohanan dalam masa yang sama.

"Kami mengambil inisiatif untuk memfokuskan kepada pasaran konsol yang tidak banyak syarikat atau pengusaha e-sukan di negara ini memberi tumpuan iaitu pasaran FIFA," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Gamesbond pernah melalui 'detik hitam' sepanjang penubuhannya apabila berlaku kes kecurian di premisnya di Damansara, Selangor pada 2018 sehingga terpaksa menanggung kerugian sebanyak lebih RM50,000.

"Kejadian berlaku pada awal bulan Ramadan, pencuri mendapat maklumat daripada bekas pekerja Gamesbond tentang selok belok premis kami. Bekas pekerja itu diberhentikan kerja kerana salah laku kecurian dan pengambilan barangan terlarang.

"Hasil kerjasama pihak berkuasa, semua pencuri berjaya ditangkap dan dikenakan hukuman. Selepas insiden tersebut, kami lebih berhati-hati dalam memilih pekerja dan mengetatkan sistem keselamatan di premis kami," ujar Muhammad Fazli.

EPIALA PC

MUHAMMAD Fazli (tiga dari kanan) pada sidang media pelancaran E-Piala Malaysia pada 2019. — Ihsan Gamesbond

Selain itu, bagi mengembangkan sayap Gamesbond di arena e-sukan, Muhammad Fazli menubuhkan pasukan GBX Esports bagi membantu para pemain FIFA di negara ini mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi.

"Kami memilik ramai pemain e-sukan bertaraf dunia seperti Luqman Haziq, AkmalJHD, Muzaffar Zuhair dan Imran Deen yang sentiasa meraih kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Antara kejayaan dikecapi oleh pasukan GBX Esports adalah berjaya melangkah ke peringkat akhir FIFAe Club World Cup 2021.

"Di samping itu, kami juga menjadi syarikat e-sukan pertama berkolaborasi bersama pengeluar permainan digital FIFA iaitu EA Sports untuk majlis pelancaran permainan video FIFA21 malahan GamesBond berjaya membawa kejohanan rasmi ‘Official League Partner’ bagi FIFA Global Series ke Malaysia," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram