NEGERI Sembilan FC (NSFC) mengumumkan penarikan diri dari saingan Piala Malaysia musim ini susulan 20 pemain dan empat pegawainya disahkan positif Covid-19.
Juara Liga Premier 2021 itu memaklumkan perkara berkenaan menerusi hantaran di akaun media sosial Facebook rasmi pasukan yang menyatakan bahawa keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan doktor pasukan dan keselamatan semua pihak.
Menurutnya, NSFC ingin memohon setinggi-tinggi kemaafan kepada para penyokong pasukan.
“Dukacita dimaklumkan bahawa seramai 4 pegawai dan 20 pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) telah sah dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau selama 10 hari oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Ujian pengesanan Covid-19 secara berterusan sedang dilakukan bagi kontak rapat para pemain dan pegawai NSFC yang terlibat,” katanya.
Tambahnya lagi, keputusan itu juga dilakukan demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil berat di atas nasihat yang diberikan oleh Doktor Pasukan.
Jelasnya lagi, situasi tersebut turut menyebabkan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan pada Rabu.
“Sehubungan itu, NSFC tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021.
“NSFC juga berharap agar para penyokong memberi sokongan dan mendoakan kesejahteraan para pemain dan pegawai pasukan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, NSFC turut mengesa masyarakat dinasihatkan supaya tidak leka dan kekal mematuhi prosedur standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.
NSFC ketika ini sepatutnya bersaing hebat dengan Kedah Darul Aman selepas mengumpul tiga mata bagi kedudukan dua terbaik dalam Kumpulan C.
Kedua-dua pasukan itu hanya dibezakan tiga mata dengan Melaka United FC yang berada di tangga teratas kumpulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram