Sarawak United mula langsaikan hutang LHDN


  • Podium
  • Sabtu, 23 Okt 2021

PENGURUSAN Sarawak United akan melunaskan segala tunggakan bagi mengelak situasi lebih sukar dihadapi pasukan pada masa akan datang. — Facebook/Sarawak United

BAGI mengelakkan situasi lebih sukar dihadapi pasukan pada masa akan datang, Sarawak United akan segera melunaskan segala tunggakkan termasuk kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika ini, kelab dari Borneo itu pastinya sedang diperhatikan First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Malaysia Football League (MFL) selepas dipalit isu tunggakan gaji pemain.

“Sarawak United mengambil maklum mengenai kelulusan Lesen Kebangsaan Bersyarat dan juga keputusan FIB serta akur atas arahan yang diumumkan dan ditetapkan.

“Justeru itu, Sarawak United akan membuat pembayaran kepada pihak-pihak berwajib seperti jumlah yang sudah pun dipersetujui berdasarkan tarikh seperti mana dijadualkan,” kata kelab itu.

Sebelum ini, Pengerusi FIB Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif menjelaskan yang Sarawak United mempunyai hutang tertunggak LHDN.

Ekoran itu, jika gagal melunaskan segala tunggakan, pasukan itu berdepan hukuman berat termasuk larangan perpindahan pemain, diturunkan ke liga lebih rendah dan lesen ditarik balik.

Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, tindakan itu hanya boleh diambil selepas segala proses berkaitan termasuk siasatan penuh dibuat oleh FIB Pelesenan Kelab MFL selesai.

“Pihak pasukan juga amat mengalu-alukan lawatan wakil FIB ke pejabat pasukan di Kuching, Sarawak bagi tujuan penilaian,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sarawak united, E Elavarasan, MFL