PEMAIN perseorangan utama negara Lee Zii Jia tersingkir di pusingan suku akhir Terbuka Denmark selepas tumbang kepada jaguh tuan rumah Viktor Axelsen dalam pertarungan sengit di Odense Sports Park, lewat malam Jumaat.
Axelsen, pemain nombor dua dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 menang 21-19, 21-19 dalam tempoh 39 minit untuk menempah slot separuh akhir bertemu pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, menurut laman sesawang bwf.tournamentsoftware.com.
Kejayaan di laman sendiri itu menyaksikan Axelsen akhirnya melunaskan dendam kekalahannya kepada Zii Jia di pentas akhir kejohanan All England 2021, Mac lepas.
Dengan tersingkirnya Zii Jia, tumpuan kini terarah kepada gandingan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang menjadi wakil tunggal negara beraksi di pusingan separuh akhir kejohanan.
Sze-Fei-Nur Izzuddin yang mengejutkan pasangan juara Piala Thomas 2020 Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia di suku akhir akan membuat perhitungan menentang pasangan tuan rumah Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen malam ini.
Ia bakal menjadi pertemuan keempat kedua-dua pasangan dengan rekod tiga kemenangan sebelum ini menjadi milik gandingan Denmark itu.
"Ini pertemuan keempat, sebelum ini kali terakhir kita jumpa dekat Swiss (Terbuka Switzerland) kami kalah. (Kali ni) kita tak nak komen banyak lah, kami akan buat yang terbaik dan buktikan yang kami mampu, Insya-Allah,” kata Nur Izzuddin dalam video kepada wartawan tempatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram