Mimpi buruk bintang EPL, diikat perompak ketika berehat bersama isteri


  • Podium
  • Sabtu, 23 Okt 2021

PADA kejadian itu, perompak melarikan jam tangan, barang kemas dan perkakas elektrik.

SEORANG bintang Liga Perdana Inggeris bersama isterinya berdepan detik mencemaskan apabila dilaporkan diikat oleh perompak yang bersenjatakan parang dalam insiden rompakan di kediamannya.

Insiden itu menimpa pemain berkenaan ketika cuti rehat antarabangsa, baru-baru ini.

Ketika kejadian, pemain yang tidak didedahkan identitinya itu sedang menonton televisyen manakala pasangannya sedang mandi sebelum rumah mereka dimasuki empat lelaki.

Perompak melarikan jam tangan, barang kemas dan perkakas elektrik.

“Kejadian ini adalah mimpi buruk buat semua orang. Dia cukup berani dan melakukan sehabis baik namun perompak agak ramai malah mereka juga cukup agresif.

“Pemain ini cukup rendah diri ketika di luar padang dan sebab itu dia terkejut apabila menjadi sasaran,” menurut sumber.

Ekoran insiden itu, polis kini sedang melakukan siasatan terperinci bagi menyelesaikan kes.

Kejadian seperti ini bukanlah yang pertama kali membabitkan pemain bola sepak ternama.

Mac lalu, penjaga gol Everton, Robin Olsen dan keluarganya juga diasak oleh satu kumpulan di kediamannya di Cheshire.

Malah Mei lalu, bintang England dan Tottenham Hotspur, Dele Alli juga diserang oleh dua lelaki bersenjatakan pisau.

Pada kejadian itu, Alli ditumbuk dan diugut menggunakan pisau sebelum perompak melarikan barang kemas dan jam tangan miliknya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

rompak, EPL, Liga Perdana Inggeris